Ribuan Ikan Di Tasik UniSZA Ditemui Mati Berpunca Daripada Cuaca Panas

Ikan di tasik UniSZA

Ribuan Ikan Di Tasik UniSZA Ditemui Mati Berpunca Daripada Cuaca Panas

Akibat kekurangan oksigen terlarut susulan cuaca panas dan peningkatan muatan organik, ribuan ikan tilapia ditemui mati di tasik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) petang Khamis lalu, lapor Astro Awani.

Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI) UniSZA, Fathurrahman Lananan berkata dapatan itu hasil daripada ujian segera.

Ujian terhadap kematian ribuan ikan itu dibuat oleh ESERI selepas penemuan bangkai ikan di tasik universiti berkenaan.

Menurut Fathurrahman, terdapat dua faktor bertindih yang menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak permintaan oksigen Biological Oxygen Deman (BOD).

“Faktor pertama adalah peningkatan muatan organik disebabkan keadaan kemarau yang melanda ketika ini. Muatan organik adalah daripada saliran kawasan perumahan yang membawa air sisa seperti cucian dapur dan buangan makanan.

“Apabila kemarau, kepekatan air sisa akan meningkat dan meningkatkan muatan organik ke atas ekosistem tasik kerana air masuk (influent) adalah pekat dan air keluar daripada tasik (efluent) berkurangan disebabkan isipadu aliran air yang berkurangan. Ditambah pula dengan kuantiti hujan yang sangat rendah ketika ini,” katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Tambahnya lagi, faktor kedua adalah mungkin disebabkan oleh fenomena cuaca panas berdasarkan Ayunan Selatan El Nino (ENSO) atau El Nino.

Suhu di Kuala Nerus dilaporkan mencecah 33 hingga 34°C dan menyebabkan peningkatan suhu air di tasik UniSZA.

Disebabkan peningkatan suhu ini, penurunan keupayaan muatan oksigen terlarut dalam air terjejas. Ia seterusnya menyebabkan keseimbangan oksigen dalam ekosistem tasik berlaku.

Selain itu, keadaan ini juga diburukkan lagi dengan faktor pertama iaitu peningkatan BOD dan faktor bertindih yang menyebabkan penurunan oksigen terlarut.

Penurunan oksigen itu menyebabkan kematian ikan bersaiz besar dan sederhana sebagai permulaan

“Peningkatan mendadak BOD menyebabkan ‘blackout’ atau kehilangan serta-merta oksigen terlarut di Tasik UniSZA yang menyebabkan kematian ikan terutama ikan bersaiz besar dalam populasi tasik berkenaan.

“Oleh sebab itu, kita dapati ikan bersaiz relatif lebih besar yang mati dahulu kerana ikan bersaiz ini memerlukan oksigen terlarut lebih tinggi berbanding ikan kecil.

“Jika corak oksigen terlarut berterusan menurun, kita akan dapat melihat kematian ikan yang lebih kecil malah telur ikan. Serta seluruh populasi hidupan akuatik di Tasik UniSZA juga akan mati,” katanya.

Tambah Fathurrahman lagi, terdahulu kejadian yang sama turut pernah berlaku ketika ENSO pada tahun 2018. Kejadian ENSO yang melanda negeri itu telah melibatkan kematian ikan yang jauh lebih tinggi.

BACA: Pelik, Ini Tiga Jenis Ikan Yang Tak Kena Pada Rupa & Nama

Beliau berkata, bagi mengelak situasi yang sama berulang, cadangan daripada Institut Penyelidikan Alam Sekitar untuk mewujudkan Loji Rawatan Air telah telah dibuat.

Cadangan pembuatan Loji Rawatan Air Tasik itu adalah untuk merawat nutrien dalam Tasik UniSZA. Fathurrahman memberitahu bahawa sejak enam tahun lalu, ekosistem tasik telah menerima aliran masuk air domestik daripada kawasan perumahan sekitar UniSZA.

Walau bagaimanapun, permohonan cadangan itu dilaporkan tertangguh disebabkan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2019 lalu.

“Aliran masuk air domestik ini pada awalnya bukan dalam spesifikasi rekaan Tasik UniSZA iaitu tasik rekreasi.

“Akan tetapi, Tasik UniSZA kini menjalankan dua peranan sebagai salah satu komponen dalam tebatan banjir di kawasan Gong Badak/Tok Jembal yang memerlukannya menerima aliran masuk air domestik/perbandaran ini.

“Oleh itu, terdapat keperluan tinggi untuk Loji Rawatan Air Tasik direalisasikan dan kita harap ia dapat dilaksanakan segera,” katanya. 

Sumber: Sinar Harian

The post Ribuan Ikan Di Tasik UniSZA Ditemui Mati Berpunca Daripada Cuaca Panas appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*