Rosmah Sekali Lagi Mohon Pelepasan Sementara Pasport Untuk Ke Singapura

rosmah mohon pasport singapura

Rosmah Sekali Lagi Mohon Pelepasan Sementara Pasport Untuk Ke Singapura

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) — Datin Seri Rosmah Mansor sekali lagi mengemukakan permohonan di Mahkamah Rayuan bagi mendapatkan pelepasan sementara pasportnya untuk melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa Mohd Najib dan keluarganya di Singapura.

Rosmah memfailkan notis usul itu pada 2 Jun lepas menerusi Tetuan Akberdin & Co, bagi membolehkannya ke luar negara selama empat minggu bermula 6 Jun sehingga 7 Julai depan.

Dalam notis itu,  isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memohon untuk melawat anak perempuan sulung beliau yang kini menetap di Singapura selepas berkahwin dengan lelaki warga Kazakhstan, Daniyar Kessikbayev.

Mahkamah sebelum ini membenarkan Rosmah untuk mendapatkan pelepasan sementara pasportnya pada 15 Okt 2021 untuk melawat Nooryana yang dijangka melahirkan anak kedua di Singapura serta melawat seorang daripada cucunya yang tidak sihat pada 21 Mac lepas.

“Saya dengan rendah diri memohon mahkamah membenarkan pasport antarabangsa saya diambil sementara untuk membolehkan saya menggunakannya bagi melawat anak perempuan saya dan keluarganya di Singapura,” kata Rosmah dalam afidavit sokongannya.

BACA JUGA: Saya Tidak Boleh Dipertanggungjawabkan Atas Kehilangan 43 Barang Kemas – Rosmah

Menurut Rosmah, beliau beraku janji akan menyerahkan kembali pasport itu kepada mahkamah dengan kadar segera atau selewat-lewatnya seminggu selepas pulang dari Singapura.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah ketika dihubungi, mengesahkan pemfailan permohonan itu dan memaklumkan permohonan akan didengar esok di Mahkamah Rayuan.

Pada 1 Sept 2022, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Mahkamah turut memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan. Rayuan itu akan didengar selama empat hari bermula 11 Julai ini.

Sumber: BERNAMA

The post Rosmah Sekali Lagi Mohon Pelepasan Sementara Pasport Untuk Ke Singapura appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*