Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-90

Hari Angkatan Tentera

Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-90 pada tahun ini dengan  tema ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’ telah disempurnakan oleh Panglima  Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman. 

Pada tahun ini dan buat julung kalinya sambutan telah diadakan di Perkarangan  dan Jeti Operasi Markas Pemerintahan Armada Barat, Pangkalan TLDM Lumut, Perak  dengan kehadiran penonton dari kalangan pemimpin tertinggi ATM, warga ATM, masyarakat setempat dan luar. Sambutan kali ini juga agak berbeza berbanding tahun  sebelumnya di mana pada tahun ini hadiri telah dipertontonkan dengan Perbarisan  Tempur Statik dan Demonstrasi Keupayaan ATM yang melibatkan kira-kira 1500  Pegawai dan Anggota Lain-Lain Pangkat ATM. 

Perbarisan Tempur Statik diketuai oleh Kepten Muhammad Haziq bin Abdullah TLDM melibatkan empat (4) kontinjen yang terdiri daripada Tentera Darat Malaysia  (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Gabungan Pasukan Khas berkekuatan seramai 30 Pegawai dan 306 Lain-Lain  Pangkat. 

Hari Angkatan Tentera

Perbarisan Tempur Statik pada pagi ini turut menyaksikan terbang lintas empat  (4) buah pesawat helikopter ATM yang membawa bendera TDM, TLDM dan TUDM yang  diketuai oleh Mejar Khairul Ridhuan bin Ramlee TUDM. Perbarisan ini juga turut diiringi  oleh Pancaragam Pusat ATM di bawah pimpinan Leftenan Komander Mohd Shamram  bin Ramli TLDM. 

Demonstrasi Keupayaan ATM yang memperlihatkan keupayaan aset serta  kompetensi ATM melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu TDM, TUDM  dan TLDM, secara tidak langsung mempamerkan kredibiliti ATM dalam menggalas tugas utamanya dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara. Pada masa yang sama, keupayaan yang ditonjolkan memperlihat dan menonjolkan  keyakinan kepada rakyat bahawa kesiagaan ATM terhadap tugasan utamanya tidak  terjejas walaupun ATM kini turut juga memberi tumpuan kepada pelaksanaan tugas  sekundernya dalam membantu Negara. 

Antara aset yang terlibat dalam segmen Demonstrasi Keupayaan ATM ialah Kenderaan Perisai AV8 Gempita, Kenderaan Berperisai Berantai ACV 300 Adnan,  Kenderaan Pelancar Roket Igla SLU, Kenderaan Pelancar Roket Astros II, Helikopter  Agusta LOH A109, Helikopter MD 530G, Supacat ATMP dan Kenderaan Pengangkut  Senjata VAMTAC S3 MK 19 dari TDM, Helikopter AW 139 (HOM), Helikopter Super Lynx,  Helikopter Fennec, Fast Combat Boat (FCB) dan Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) dari  TLDM, Pesawat Pengangkut C-130 Hercules, Pesawat Tempur Hawk 108/208,  Helikopter EC 725 dan Kenderaan Pelancar Misil Starstreak dari TUDM selain  penglibatan Pegawai dan Lain-Lain Pangkat dari Gerup Gerak Khas (GGK), Pasukan  Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Udara (PASKAU). 

Hari Angkatan Tentera

Turut diadakan juga penyampaian Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan  

Tentera (PAT) yang merupakan anugerah tertinggi di dalam ATM. Anugerah ini diberikan  kepada Formasi atau Briged terbaik bagi Tentera Darat, Pasukan terbaik bagi TLDM dan  Pangkalan Udara terbaik bagi TUDM. Penerima Anugerah Kesiagaan PAT menerima  piala pusingan serta wang tunai sebanyak Ringgit Malaysia Lima Ribu (RM 5,000).  Butiran penerima Anugerah Kesiagaan PAT bagi tahun 2023 adalah seperti berikut:

  1. Gerup Gerak Khas diwakili Mejar Jeneral Adi Ridzwan bin Abdullah,  Panglima 21 Gerup Gerak Khas.
  2. Angkatan Kapal Selam diwakili Laksamana Pertama Mohd Razib bin Tahir,  Panglima Angkatan Kapal Selam.
  3. Pangkalan Udara Kuantan diwakili Brigedier Jeneral Wan Azwan Azwari bin Wan Ali TUDM, Komander Pangkalan Udara Kuantan.

ATM akan terus memastikan kesejahteraan dan keselamatan Negara sentiasa  menjadi keutamaan. ATM sebagai benteng utama pertahanan Negara akan terus  komited untuk mendokong misi dan wawasan Negara bagi menentukan keamanan dan  kedaulatan Negara sentiasa terpelihara. 

The post Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-90 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*