Selangor sedia hadapi kenaikan bahan binaan 180 peratus

KLANG – Kerajaan Selangor bersedia mendepani kenaikan harga bahan binaan yang melambung 180 peratus terutama bagi pelaksanaan projek perumahan mampu milik di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kenaikan harga bahan binaan itu kesan akibat konflik Russia-Ukraine dan ketidaktentuan ekonomi global.

“Harga bahan seperti simen, batu bata dan besi mengakibatkan aktiviti pembangunan perumahan mampu milik yang dalam pembinaan dan perancangan bakal tergendala.

“Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada rakyat berpendapatan rendah terutama B40 yang menetap di bandar,” katanya ketika berucap pada  Majlis Penyerahan Kunci Projek Rumah Selangorku Kemuning Idaman Klang di sini, hari ini.

Jelas Amirudin, bagi menghadapi kenaikan tersebut, pelbagai usaha dilakukan termasuk memperkukuhkan lagi ‘smart partnership’ membangunkan rumah Selangorku dengan pihak seperti Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Kata beliau, sebanyak 386 projek  diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) melibatkan 221, 671 unit rumah Selangorku, MBI Idaman dan Rumah Harapan sehingga 1 Januari lalu.

Tambah Amirudin, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) terlibat dalam penyediaan Rumah Selangorku yang kini membangunkan lima lokasi melibatkan pembinaan 3,500 unit rumah. – KOSMO! ONLINE

The post Selangor sedia hadapi kenaikan bahan binaan 180 peratus appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*