Seorang Lagi Pendatang Tanpa Izin Lolos Maut, Jumlah Diberkas 54 Orang Setakat Pagi Ini – KP Perak

Seorang Lagi Pendatang Tanpa Izin Lolos Maut, Jumlah Diberkas 54 Orang Setakat Pagi Ini – KP Perak

IPOH, 5 Feb (Bernama) — Seorang lagi pendatang tanpa izin yang lolos dari Depot Sementara Imigresen Bidor, Tapah, maut akibat kemalangan jalan raya malam tadi, kata Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Mohd Yusri berkata kemalangan berlaku di Kilometer (KM) 332.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada 9.20 malam tadi, manakala tiga lagi pendatang tanpa izin ditahan awal pagi tadi di kawasan Tapah menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan 54 orang setakat 8 pagi ini.

“Mangsa dilanggar pacuan empat roda ketika sedang berjalan kaki dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kesemua tangkapan termasuk yang meninggal dunia adalah warga Rohingya (Myanmar).

Sementara itu Mohd Yusri berkata mayat mangsa kejadian 9.20 malam tadi telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk dibedah siasat.

Beliau berkata pegawai imigresen telah hadir ke hospital itu dan mengesahkan bahawa mangsa adalah seorang daripada pendatang yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor.

“Orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil untuk memberi keterangan dan menghubungi pegawai penyiasat kes Insp P. Prathiparaj dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan trafik, IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Tapah di talian 014-6178095,” katanya.

Berkenaan tahanan yang ditangkap, Mohd Yusri berkata pada 9.45 malam tadi hasil maklumat orang awam, pasukan operasi khas polis berjaya menahan seorang lelaki etnik Rohingya itu di Felcra Jalan Kachu, Tapah.

Katanya pasukan operasi khas polis juga berjaya menangkap lelaki etnik Rohingya pada 3.35 pagi tadi, manakala seorang lagi lelaki Rohingnya ditahan di Batu Dua Jalan Pahang, Tapah pada 3.55 pagi tadi.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) Perak menyeru orang ramai bekerjasama dalam mengesan tahanan etnik Rohingya yang meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Bidor dan juga tidak membuat sebarang spekulasi yang akan menyukarkan lagi situasi semasa.

“Kejayaan yang amat dibanggakan sepanjang operasi ini dijalankan dengan jumlah penangkapan yang telah dibuat. Operasi mengesan dan menangkap akan diteruskan sehingga tempoh tertentu,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Seorang Lagi Pendatang Tanpa Izin Lolos Maut, Jumlah Diberkas 54 Orang Setakat Pagi Ini – KP Perak appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*