Sifat Mulia Sebuah Keluarga Derma Sepasang Mata Anak Lelakinya, Bantu Beri Penglihatan Dua Penerima

derma sepasang mata anak lelaki

Derma sepasang mata milik anak selepas kematiannya, tindakan mulia sebuah keluarga membantu memberi anugerah penglihatan kepada dua penerima yang memerlukan.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Kesihatan Sabah memberi penghormatan kepada penderma terbabit, Cospermas Gugkang, 38, yang disahkan meninggal dunia melalui pengesahan ujian mati otak di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata pembedahan transplan kornea telah berjaya dijalankan ke atas dua orang penerima pada 10 dan 11 Januari di Hospital Queen Elizabeth.

“Walaupun masih dalam kesedihan di atas kehilangan ahli keluarga tersayang, pihak keluarga mendiang telah bermurah hati untuk mendermakan sepasang mata kepada pesakit yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Difahamkan, kedua-dua penerima tersebut kini stabil dan dalam proses pemulihan.

“Jabatan Kesihatan Sabah mengucapkan takziah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih kepada keluarga penderma kerana memberikan sinarharapan baru kepada pesakit yang memerlukan anugerah ini.

“Semoga roh mendiang diberkati dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rose Nani juga berkata pihaknya turut mengharapkan agar lebih ramai masyarakat tampil mendaftarkan diri sebagai pengikrar penderma organ melalui aplikasi MySejahtera untuk membantu golongan yang memerlukannya.

 

Kredit: Jabatan Penerangan Sabah

Sumber: Jabatan Penerangan Sabah via Twitter

The post Sifat Mulia Sebuah Keluarga Derma Sepasang Mata Anak Lelakinya, Bantu Beri Penglihatan Dua Penerima appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*