SKMM diminta sekat sebaran palsu Dana M5301 Citibank

CYBERJAYA: Pertubuhan Jaringan Sahabat Malaysia (JSM) mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat sebaran palsu berkenaan Dana M5301 Citibank yang kini mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.

Pengerusi Pertubuhan Jaringan Sahabat Malaysia (JSM), Mohd Radzi Abdul Rahman berkata, pihaknya difahamkan, dana yang bermula tahun 2001 itu diwujudkan tanpa pengesahan daripada mana-mana institusi kewangan.

Beliau berkata, setakat ini, lebih 100,000 telah terpedaya dengan tawaran palsu yang dijanjikan dana berkenaan.

“Keadaan ini menjadi barah yang semakin merebak,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum sekatan penyebara palsu berkaitan dana itu kepada SKMM, di sini hari ini.

Katanya, pihaknya memohon SKMM menyiasat lanjut kes itu termasuk semua nombor-nombor telefon yang dipercayai digunakan untuk tujuan penipuan dalam pelaburan Dana M5301 Citibank.

Mohd Radzi berkata, pihaknya mahu SKMM mengambil tindakan sewajarnya kepada sesiapa sahaja yang terlibat menguruskan dan berkenaan.

“Kami tidak mahu rakyat terjerat dengan mana-mana sindiket penipuan dan kutipan wang tidak berlesen serta mengelirukan masyarakat.

“Kami juga mahu SKMM mengenakan satu hukuman setimpal kepada mana-mana pihak yang menggunakan nama pihak ketiga sebagai pemilik nombor telefon yang digunakan bagi tujuan penipuan,” katanya.

Katanya, hukuman ini wajib dijadikan pengajaran kepada masyarakat di luar supaya tidak dengan sewenang-wenangnya menggunakan sistem komunikasi sedia ada untuk tujuan menipu pihak yang lain.

Jelasnya lagi, saranan ini penting bagi membendung gejala penyebaran maklumat palsu dengan lebih berleluasa.

Sebelum ini, Mohd. Radzi bersama mangsa sindiket membuat laporan polis Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul, Kuala Lumpur supaya siasatan segera dilakukan berhubung dana itu.

Difahamkan, sindiket skim pelaburan cepat kaya itu menjanjikan pulangan AS$200 juta bagi pelaburan berjumlah RM250 dan pulangan sehingga AS$3 bilion untuk pelaburan RM1,000.

Ahli sindiket akan dibahagi dan bergerak dalam kumpulan kecil dengan cara menawarkan pelbagai jenis pakej pelaburan dengan pulangan lumayan menerusi kumpulan WhatsApp.

Lebih meyakinkan, sindiket mendakwa skim pelaburan itu mendapat sokongan pelbagai agensi antaranya Bank Negara Malaysia (BNM), dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), malah Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat. – UTUSAN

The post SKMM diminta sekat sebaran palsu Dana M5301 Citibank appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*