Speedy Tigers Cipta Sejarah Layak Ke Pentas Final ACT, Belasah Korea Selatan 6-2

layak ke pentas final act

Speedy Tigers Cipta Sejarah Layak Ke Pentas Final ACT, Belasah Korea Selatan 6-2

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) — Skuad hoki lelaki kebangsaan mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya layak ke pentas final Kejohanan Trofi Juara-juara Asia (ACT) 2023, di Chennai, India malam ini.

Kejayaan itu diraih selepas skuad Speedy Tigers yang menang tipis ke atas Korea Selatan Khamis lepas, sekali lagi mencipta kemenangan dengan membelasah pasukan sama 6-2, dalam perlawanan separuh akhir malam ini.

Kemenangan terbabit sekali gus bakal menyaksikan skuad Speedy Tigers untuk bertemu sama ada juara bertahan India atau Jepun, yang membuat perhitungan malam ini untuk ke perlawanan akhir esok.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Mayor Radhakrishnan, menyaksikan Korea Selatan bermula agresif untuk mendahului kedudukan apabila Ji Woo Cheon, yang mencipta jaringan seawal minit ketiga menerusi gol padang.

Skuad  Speedy Tigers bagaimanapun berjaya bangkit mengawal permainan, selepas Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menjaringkan gol padang seminit kemudian, sebelum Najmi Farizal Jazlan menggandakan kedudukan juga menerusi gol padang pada minit kesembilan.

BACA: Ramai Lega, Masalah Lif PPR Selesai Selepas Tindakan Ini, Siap Nak Bagi Internet Percuma

Jaringan terbabit bagaimanapun tidak mematahkan semangat pasukan lawan untuk menyamakan kedudukan apabila Jang Jonghyun menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-14.

Anak buah A. Arul Selvaraj kemudian menambah derita Korea Selatan dengan gol ketiga dan keempat disempurnakan penyerang prolifik Faizal Saari dan Najmi Farizal menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-19 dan ke-21 untuk meletakkan Malaysia di kedudukan selesa 4-2.

Tidak cukup dengan itu, skuad kebangsaan terus memberi ketegangan kepada pasukan lawan apabila Shello Silverius mencipta sensasi meledak dua jaringan padang pada minit ke-47 dan ke-48, untuk melengkapkan kemengan bergaya buat Malaysia.

Kejayaan skuad negara malam ini, sekali gus memberi petanda positif terhadap peluang di Sukan Asia Hangzhou, China bulan depan.

Speedy Tigers memulakan kempen ACT 2023 dengan menumpaskan Pakistan 3-1 Khamis lepas, diikuti kemenangan 5-1 ke atas China, kemudian tewas kepada India 0-5, sebelum bangkit mencatat kemenangan ke atas Jepun 3-1 dan Korea Selatan 1-0.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan ACT adalah meraih tempat ketiga sebanyak lima kali, iaitu pada edisi 2011, 2012, 2013, 2016 dan 2018.

Sumber: BERNAMA

The post Speedy Tigers Cipta Sejarah Layak Ke Pentas Final ACT, Belasah Korea Selatan 6-2 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*