SPRM Nafi Dua Pegawainya Dalang Isu Rasuah Libatkan Syarikat Korporat

SPRM Pegawai Rasuah

SPRM Nafi Dua Pegawainya Dalang Isu Rasuah Libatkan Syarikat Korporat

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan tohmahan yang dibuat sebuah blog dengan identiti palsu kononnya dua pegawai kanan suruhanjaya itu  merupakan dalang dalam isu rasuah dan salah guna kuasa melibatkan syarikat-syarikat korporat.

SPRM menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan kedua-dua pegawai tersebut telah dipanggil untuk memberikan penjelasan sebelum mereka membuat laporan polis untuk menyangkal tohmahan itu.

“Sehubungan itu, SPRM yakin perkara tersebut merupakan tohmahan liar serta tidak bertanggungjawab yang sengaja dilemparkan kepada pegawai SPRM bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap suruhanjaya ini.

Namun, sekiranya wujud bukti, pihak berkaitan harus tampil membuat aduan atau laporan kepada pihak penguat kuasa dan bukan membuat tohmahan menerusi media sosial yang berselindung di sebalik identiti palsu,” menurut kenyataan itu.

BACA JUGA: Korupsi Dalam Kalangan Anggota Penguat Kuasa Semakin Kronik, Membimbangkan – SPRM

Kenyataan itu menegaskan SPRM tidak akan membuka kertas siasatan sewenang-wenangnya tanpa bukti dan fakta kerana setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas.

Menurut kenyataan itu mengikut prinsip pengasingan kuasa, Pejabat Peguam Negara berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang bagi memastikan hanya kes-kes yang mempunyai bukti dan fakta kukuh diberikan izin untuk pendakwaan mengikut budi bicaranya.

“Dalam pada itu, SPRM juga tidak akan tunduk kepada tekanan oleh mana-mana pihak untuk mengalihkan perhatian daripada kes-kes rasuah dan penyelewengan yang sedang giat disiasat ketika ini dengan pelbagai tohmahan yang sengaja direka-reka,” katanya lagi.

Sumber: BERNAMA

The post SPRM Nafi Dua Pegawainya Dalang Isu Rasuah Libatkan Syarikat Korporat appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*