Tahap Keterjaminan Makanan Negara Stabil – Mohamad Sabu

makanan stabil sabu

Tahap Keterjaminan Makanan Negara Stabil – Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) — Tahap keterjaminan makanan di Malaysia stabil dan bekalan makanan dalam negara diyakini mencukupi bagi menampung keperluan domestik, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata berdasarkan Indeks Keterjaminan Makanan Global (GFSI) 2022, Malaysia berada di tangga ke-41 daripada 113 negara dengan skor 69.9 dan di tangga kedua selepas Singapura dalam kalangan negara Asia Tenggara.

“Bagaimanapun, agenda keterjaminan makanan negara memerlukan penglibatan semua pihak dalam membuat perancangan dan hala tuju pembangunan industri agromakanan negara.

“Komitmen semua pihak adalah amat diharapkan bagi meningkatkan keterjaminan makanan di samping usaha mengurangkan kebergantungan terhadap import,” katanya dalam ucaptama program Ministerial Forum Mengenai Keterjaminan Makanan Negara 2023 di sini, hari ini.

Beliau menggariskan lima fokus utama KPKM tahun ini bagi menjayakan agenda keterjaminan makanan, selaras Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara dan Dasar Agromakanan Negara 2.0.

BACA: Lelaki Ajar Cara Bersihkan Ketam Yang Betul, Elak Terkena Keracunan Makanan

Mohamad berkata fokus pertama ialah pemerkasaan industri akuakultur bertujuan mengurangkan tekanan kepada permintaan sumber perairan semula jadi, di samping meningkatkan pendapatan menerusi industri tersebut.

“Kedua ialah memperluas penternakan lembu secara fidlot untuk memperkasakan pengeluaran lembu pedaging bagi memenuhi keperluan bekalan daging tempatan serta eksport dan ketiga, penanaman jagung bijian sebagai sasaran peningkatan pengeluaran jagung bijian sebanyak 30 peratus menjelang 2032 untuk mengurangkan kebergantungan import.

“Selain itu, mempertingkatkan penglibatan belia untuk berkecimpung dalam sektor agromakanan dan pertanian pintar kerana cabaran utama bagi sektor tersebut adalah isu pekerja asing dan petani menua,” katanya.

Tambahnya KPKM akan turut menambah baik institut latihan pertanian supaya dapat melahirkan graduan berkualiti tinggi dalam bidang teknologi pertanian, penyelidikan dan pembangunan serta pertanian moden dan pintar, seiring hasrat negara membentuk pekerja mahir pertanian

Sumber: BERNAMA

The post Tahap Keterjaminan Makanan Negara Stabil – Mohamad Sabu appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*