Tak Guna Kertas, Ini Cara Warga Gambia Undi Guna Guli Semasa Pilihan Raya

gambia undi guli

Tak Guna Kertas, Ini Cara Warga Gambia Undi Guna Guli Semasa Pilihan Raya

Pernah terfikir tak pilihan raya yang sebelum ini dijalankan dengan cara menandakan calon di kertas dengan pen, dilakukan menggunakan guli?

Walaupun dilihat pelik namun sistem pengundian unik itu telah dilakukan di Gambia, negara terkecil di benua Afrika.

Ya betul, sehingga kini sistem tersebut masih diguna pakai pada pilihan raya yang diadakan, mengingatkan pengundi kepada permainan zaman kanak-kanak.

Jadi sebenarnya bagaimana sistem ini berfungsi dan apakah cara yang digunakan untuk menentukan calon yang tersenarai meraih undian terbanyak?

Untuk pengetahuan, negara tersebut telah diperkenalkan dengan sistem pengundian unik berkenaan pada awal 1960-an untuk menangani tahap buta huruf yang tinggi di negara itu.

Sistem ini berdasarkan penggunaan token atau guli jernih yang dilemparkan dalam satu bekas buatan besi yang dijadikan sebagai peti undi.

Setiap calon atau parti memiliki satu peti besi undi yang diwarnakan mengikut warna simbol parti selain gambar mereka turut dilekatkan di peti itu.

Kredit: Gambia UN

Cara mengundi guna guli

Pada hari pilihan raya di pusat mengundi, peti besi diletakkan di bahagian belakang tempat mengundi. Selepas diberikan guli, pengundi perlu menuju ke pusat mengundi untuk membuang undi.

Berbeza dengan sistem kertas undi, pengundi di negara tersebut perlu memasukkan guli ke dalam peti calon atau parti yang dipilih.

Selepas guli itu dilepaskan ia akan jatuh terkena loceng dan bunyi yang dikeluarkan jelas menunjukkan bahawa undian telah dibuat.

Untuk mengelakkan ia mengeluarkan bunyi lain, semasa menutup peti, pegawai mengundi meletakkan pasir atau habuk papan di bahagian bawahnya.

Disebabkan bunyi yang dikeluarkan adalah seakan-akan bunyi loceng, pada hari pilihan raya penggunaan basikal adalah dilarang berhampiran di pusat mengundi.

Hal tersebut adalah kerana bunyi loceng pada basikal yang dibunyikan dibimbangi akan mengelirukan mereka dengan bunyi sebenar ‘pengundian’ tersebut.

BACA: 5 Larangan Kepada Pengundi & Ahli Politik Ketika PRN, No 3 Tu Dah Banyak Kali Jadi

Cara undian dikira

Kredit: Gambia UN

Selepas proses pengundian tamat, undian dikira dengan meletakkan guli di dalam dulang khas yang mempunyai sama ada 200 atau 500 lubang.

Sistem itu memudahkan pegawai pengiraan untuk mengira jumlah undi yang dibuang dalam peti dengan cepat.

Sistem pengundian unik ini jelas menunjukkan ia mempunyai kelebihan di mana caranya adalah mudah, berpatutan dan mampu milik.

Kelebihan penggunaan guli semasa mengundi

Antara kelebihan sistem ini ia direka bentuk untuk memudahkan orang buta huruf menggunakan hak demokrasi mereka.

Selain itu, teknologi ini sangat kalis gangguan dan hampir mustahil untuk dimanipulasi tanpa dikesan.

Apabila seseorang menjatuhkan guli, pegawai pilihan raya mendengar bunyi deringan yang kuat dan tiada siapa boleh membuang lebih daripada satu undi tanpa diketahui, walaupun dalam privasi bilik mengundi.

Kemudian, pengiraan undi mengambil masa yang lebih singkat dan lebih tepat.

Seterusnya, teknologi pengundian adalah murah, dibuat secara tempatan dan mesra alam. Guli dan gendang semuanya adalah buatan tangan di Gambia.

Kelebihan terakhir adalah penggunaan guli itu sendiri kerana ia merupakan adat Gambia yang menyumbang kepada rasa bangga serta jati diri anak bangsa terhadap negara.

Kelemahan penggunaan guli semasa mengundi

Pun begitu, terdapat beberapa kelemahan mengenai sistem pengundian unik ini.

Sekiranya loceng tidak mengeluarkan bunyi semasa pengundi berada di bilik undi, pegawai pengundian dikehendaki menyemak sama ada guli tersebut telah disalahgunakan oleh pengundi, contohnya guli mungkin terjatuh di atas tanah.

Ketiadaan bunyi loceng jelas menunjukkan kepada pengundi di pusat mengundi bahawa pengundi tidak membuang undi di salah satu peti besi.

Selain itu, perbezaan nada deringan yang sedikit (tetapi jelas ketara) antara peti boleh menghasilkan pelanggaran yang tidak boleh diterima dalam kerahsiaan undi.

Ia boleh membawa kepada potensi ugutan atau pengaruh yang tidak wajar terhadap pengundi.

Sumber: Ace Project, Gambia UN, BBC

The post Tak Guna Kertas, Ini Cara Warga Gambia Undi Guna Guli Semasa Pilihan Raya appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*