Tamat Pemerintahan Selepas 5 Tahun, Ini Biodata Ringkas Al-Sultan Abdullah & Tunku Azizah Aminah

biodata ringkas abdullah

Tamat Pemerintahan Selepas 5 Tahun, Ini Biodata Ringkas Al-Sultan Abdullah & Tunku Azizah Aminah

Pada hari ini, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat pulang ke negeri naungannya, Pahang selepas menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan (YDP) Agong ke-16 hari ini.

Keberangkatan pulang oleh kedua-duanya telah diiringi dengan laungan azan yang syahdu bergema di perkarangan Istana Negara pada pagi Selasa.

Kehadiran sosok Al-Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah buat kali terakhir itu sudah semestinya menyuntik raya sayu dalam kalangan rakyat.

Sungguhpun kedua-duanya baru sahaja menyerahkan posisi Yang Di-Pertuan Agong kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, sosok Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah sudah mula dirindui oleh rakyat jelata.

Sehubungan itu, Siakap Keli telah tampil dengan biodata ringkas  bagi memahami kehidupan YDP Agong Ke-16 dan Raja Permaisuri Agong dengan lebih mendalam.

Biodata ringkas Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

biodata ringkas agong
Kredit: Bernama

Untuk makluman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah diputerakan pada 30 Julai 1959.

Baginda telah diputerakan di Istana Mangga Tunggal yang terletak di Pekan, Pahang.

Pada zaman kanak-kanaknya, baginda telah menerima pendidikan awal prasekolah di Sekolah Clifford, Kuala Lipis pada 1965 dan kemudian meneruskan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Ahmad, Pekan dari tahun 1966 hingga 1969.

Baginda turut meyambung persekolahan di Sekolah Rendah Kebangsaan St Thomas, Kuantan serta pengajian peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan St Thomas dari 1970 hingga 1974.

Kemudian, Al-Sultan Abdullah telah berangkat ke United Kingdom (UK) untuk meneruskan pengajian di Aldenham School, Elstree, Hertfordshire, UK dan Davies College, London, UK pada 1975 hingga 1977.

Pada tahun 1978 hingga 1979, baginda juga telah menyambung pengajian dalam bidang ketenteraan iaitu di The Royal Military Academy Sandhurst, UK.

BACA JUGA: Tempoh Pemerintahan Tamat, Al-Sultan Abdullah Berangkat Balik Ke Pahang Hari Ini

Pada tanggal 1 Julai 1975, baginda telah dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang dan telah dimasyhurkan pada 23 Oktober 1977 di Istana Abu Bakar, Pekan.

Ketika usia baginda mencecah 20 tahun, Al-Sultan Abdullah telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pahang pada 28 April 1979 untuk tempoh lima tahun.

Perlantikan ini susulan tempoh Seri Paduka Ayahanda Baginda, Sultan Haji Ahmad Shah menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketujuh.

Baginda juga telah dilantik Pemangku Raja Pahang sekali lagi pada pada 8 Disember 2016 sehingga 11 Januari 2019. Hal ini selepas Jumaah Pangkuan Diraja Negeri memutuskan untuk melantik baginda sebagai Sultan Pahang yang keenam.

Yang Dipertuan Agong ke-16 menyertai pelbagai jenis sukan

Al-Sultan Abdullah dilaporkan sangat meminati bidang sukan, khususnya dalam sukan polo. Baginda telah mengetuai pasukan Polo Diraja Pahang dalam perlawanan antarabangsa di Windsor Polo Club, England.

Baginda juga dilaporkan telah mengambil bahagian dalam beberapa pertandingan polo di Singapura, Filipina, Brunei, Argentina dan lain-lain.

Pada peringkat negeri Pahang, baginda menubuhkan pasukan bola sepaknya sendiri iaitu, pasukan Sri Mahkota Alam di Pekan. Selain itu, baginda juga meminati sukan lain seperti golf, go-kart dan penerbangan ultralight.

Biodata ringkas Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

biodata ringkas agong
Kredit: Bernama

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah diputerikan pada hari Jumaat, 5 Ogos 1960 di Istana Bukit Stulang yang terletak di Johor Bahru, Johor.

Baginda telah  menerima pendidikan awal di Sekolah Taman Kanak-Kanak Tunku Ampuan Mariam Johor Bahru bermula 1962 hingga 1966.

Tunku Azizah seterusnya belajar di Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim, Johor Bahru untuk pendidikan peringkat rendah.

Kemudian, baginda telah meneruskan pendidikan peringkat menengah di Sekolah Tun Fatimah bermula 1973 hingga 1979.

Seterusnya, baginda telah mengikuti pelbagai kursus untuk peringkat pengajian tinggi di antara di antara tahun 1980 hingga 1986.

Antaranya, baginda telah melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru dan Universiti Kebangsaan Singapura dalam kursus Kursus Sains Politik dan Kemasyarakatan.

Permaisuri Agong dianggap ikon dalam kalangan wanita

Tunku Azizah sangat dikenali dengan minatnya yang mendalam dalam kerja-kerja kreatif seperti menjahit dan menenun. Baginda telah mengangkat Tenun Pahang dengan memasyhurkannya sebagai Tenun Pahang Diraja.

Selain itu, baginda juga telah berkenan menubuhkan Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam. Institut ini ditubuhkan bagi melatih golongan muda khasnya demi memartabatkan Tenun Pahang Diraja di Kompleks Budaya dan Kraftangan Pulau Keladi pada 2010.

Selain bidang tenunan, banginda juga cukup pakar dalam bidang seni jahitan, mengait, jahitan silang (cross stitch) dan sulaman.

Kemahiran dan bakat semula jadi yang dimiliki Baginda amat dikagumi dan menjadi inspirasi kepada semua wanita untuk mengikuti jejak langkahnya.

Permaisuri Agong juga terkenal dengan kemahirannya memasak pelbagai jenis hidangan kerana minatnya yang mendalam dalam bidang ini.

Sehubungan itu, baginda telah menghasilkan pelbagai buku resepi pada 2005 dan 2008. Buku resepi pertamanya, ‘Air Tangan Tengku Puan Pahang’ telah diterbitkan pada 2005.

Manakala, dua buku resipi lain iaitu ‘Air Tangan Tengku Puan Pahang – Masakan Tradisional Pahang’ dan ‘Air Tangan Tengku Puan Pahang – Manisan Tradisional Pahang’ dihasilkan pada 2018.

Menariknya, Tunku Azizah telah dilantik sebagai Penaung Diraja Persatuan Jurumasak Pantai Timur dan Malaysia.

Latar belakang Keluarga Diraja Pahang

YDP Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah selamat diijab kabulkan pada tanggal 6 Mac 1986.

biodata ringkas agong
Kredit: Bernama

Perkahwinan tersebut telah menjadi lebih sempurna dengan kehadiran sembilan anakanda iaitu empat putera dan lima puteri.

Empat puteranya iaitu, Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Yang Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah.

Manakala lima puterinya pula iaitu, Yang Mulia Tengku Puteri Iman Afzan, Yang Mulia Puteri Ilisha Ameera, Yang Mulia Tengku Puteri Ilyana, Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Yang Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

BACA: Lambaian Selamat Tinggal Penuh Istiadat Buat Yang Di-Pertuan Agong Ke-16

Sumber: Sinar Harian & Portal Rasmi Istana Negara

The post Tamat Pemerintahan Selepas 5 Tahun, Ini Biodata Ringkas Al-Sultan Abdullah & Tunku Azizah Aminah appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*