Terlepas Gelaran Raja Pecut, Malaysia Tetap Bawa Pulang 2 Gangsa

malaysia 2 gangsa

Terlepas Gelaran Raja Pecut, Malaysia Tetap Bawa Pulang 2 Gangsa

Hasrat Malaysia untuk muncul sebagai Raja Pecut Asia Tenggara tidak kesampaian apabila dua wakil negara sekadar menamatkan saingan di tempat ketiga dalam acara akhir trek 100 meter lelaki di Sukan Sea Kemboja sebentar tadi.

Pingat emas acara berkenaan menjadi milik wakil Thailand, Soraoat Dapbang yang menamatkan larian dengan masa 10.37 saat. Manakala wakil Singapura, Marc Brian Louis membawa pulang pingat perak selepas mencatatkan masa 10.39 saat.

Dua wakil negara bagaimanapun tidak pulang dengan tangan kosong apabila merangkul pingat gangsa selepas terikat catatan masa yang sama.

Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi berkongsi kedudukan ketiga selepas masing-masing mencatatkan masa larian 10.45 saat.

2 gangsa tetap jadi milik Malaysia

Dalam acara yang berlangsung di sebelah petang itu, kedua-dua wakil negara bermula dengan baik apabila kelihatan berada di depan dan bersaing rapat dengan atlet Singapura.

Bagaimanapun, Soraoat mempamerkan larian yang lebih bertenaga dan mengekalkan pecutan pada beberapa meter terakhir untuk tiba terlebih dahulu di garisan penamat.

Namun begitu, photo finish terpaksa digunakan bagi menentukan kedudukan akhir antara wakil Thailand dengan wakil Singapura.

Dalam pada itu, Malaysia berada di tangga ketujuh dalam carta pungutan pingat setakat ini dengan mengumpul 26 pingat emas, 32 perak dan 56 gangsa. Secara keseluruhan, Malaysia mengumpul 114 pingat setakat 6.13 petang hari ini.

Carta pingat buat masa ini dipimpin Vietnam yang berjaya mengumpul 59 emas, 59 perak dan 73 gangsa. Di kedudukan kedua pula tuan rumah yang mengumpul 56 emas, 44 perak dan 56 gangsa.

Thailand yang merupakan kuasa sukan di Asia Tenggara pula berada di tangga ketiga selepas mengumpul 55 emas, 39 perak dan 60 gangsa.

Wakil-wakil Malaysia berjaya menampilkan prestasi membanggakan dalam beberapa acara sukan setakat ini, antaranya menerusi acara terjun, hoki dan juga karate.

Sukan Sea Kemboja berlangsung bermula 5 Mei lalu dan akan melabuhkan tirainya pada 17 Mei ini. Sebanyak 11 buah negara menyertai temasya sukan terbesar Asia Tenggara ini antaranya Malaysia, Myanmar, Brunei, Thailand dan Timor Leste.

Acara-acara sukan berkenaan boleh diikuti menerusi siaran langsung di saluran Rancangan Televisyen Malaysia (RTM).

BACA: Muaythai: Mohd Rifdean Raih Kejohanan Dunia Ketiga Berturut-Turut

Sumber: RTM 

The post Terlepas Gelaran Raja Pecut, Malaysia Tetap Bawa Pulang 2 Gangsa appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*