Teruk Macam 2006, Video Semasa Banjir Di Segamat Viral Di FB

banjir teruk segamat

Teruk Macam 2006, Video Semasa Banjir Di Segamat Viral Di FB

Ketika ini, beberapa kawasan di selatan tanah air, khususnya di Johor terjejas teruk dengan kejadian banjir. Difahamkan, daerah Segamat dan Kluang antara kawasan yang paling teruk terkena impak akibat bencana tersebut.

Justeru, hari ini, media sosial dipenuhi dengan video-video banjir yang dikongsikan oleh orang awam, khususnya mangsa di kawasan-kawasan yang terjejas.

Seorang pengguna Facebook, Melati Desa antaranya menyifatkan banjir teruk yang melanda Segamat kali ini tidak ubah seperti banjir yang berlaku pada 2006/2007.

Wanita tersebut difahamkan terpaksa meredah air banjir untuk memberikan makanan kepada ibunya. Dalam hantaran tersebut, dia turut menampilkan beberapa klip video yang memaparkan situasi banjir di Segamat.

Menerusi video berkenaan, dapat dilihat penduduk setempat terpaksa meredah air banjir untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Dapat dilihat juga deretan kereta yang ditenggelami air dan keadaan struktur di sekeliling seperti rumah yang turut tenggelam.

Beberapa kenderaan yang mencuba nasib meredah banjir juga kelihatan tersangkut dan tidak lagi dapat bergerak.

Selain itu, terdapat satu video yang memaparkan sebuah kenderaan pikap yang terbalik oleh arus air banjir. Setakat ini, tiada laporan sama ada terdapat mangsa yang terperangkap dalam kenderaan tersebut.

Manakala dalam video tular yang lain, situasi menunjukkan mangsa-mangsa banjir terpaksa menumpang beberapa lori seperti lori balak untuk bergerak ke tempat yang lebih selamat.

Pada jam 11.00 malam tadi, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Segamat telah memberikan gambaran banjir tersebut di Jalan Laksama Bandar, Segamat.

Berbeza dengan kawasan sekitarnya, video tersebut menunjukkan paras air dalam lingkungan para betis sahaja.

Kemas kini mangsa banjir Johor

Memetik Bernama, jumlah mangsa banjir di Johor terus melonjak kepada 9,162 orang.

Muar merupakan daerah terbaharu yang terjejas dan menjadikan keseluruhan sembilan daerah setakat 8 malam meningkat, berbanding 7,981 orang pada 4 petang.

“Segamat menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 767 keluarga dipindahkan ke 30 PPS diikuti Johor Bahru dengan 609 keluarga di 11 PPS, Kota Tinggi seramai 404 keluarga di 17 PPS dan Kluang melibatkan 409 keluarga di 10 PPS,” menurut kenyataan JPBN malam ini.

Turut terjejas daerah Muar yang menyaksikan 179 keluarga ditempatkan di sembilan PPS diikuti Kulai (190 keluarga di enam PPS), Mersing (14 keluarga di dua PPS) dan Tangkak (lima keluarga di dua PPS).

Jalan ke Segamat ditutup secara sepenuhnya

Pada 5.30 petang hari ini, JKR Segamat memaklumkan orang ramai bahawa jalan bagi kenderaan ke Segamat telah ditutup. Hal ini susulan keadaan banjir teruk yang melanda kawasan tersebut.

Pihak berkenaan turut menasihati rakyat Malaysia untuk mengelak daripada memasuki Segamat.

Setengah jam kemudian, JKR memaklumkan laluan masuk ke Segamat ditutup secara sepenuhnya pada 6.00 petang hari ini.

BACA: Chaah Jadi ‘Pulau’, Cabaran Bomba Selamatkan Mangsa Terputus Hubungan

Sumber: Melati Desa & JKR Segamat via Facebook

The post Teruk Macam 2006, Video Semasa Banjir Di Segamat Viral Di FB appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*