Tiada Subsidi Elektrik, Bantuan Kewangan Haji Kepada T20 – Anwar

elektrik anwar t20

Tiada Subsidi Elektrik, Bantuan Kewangan Haji Kepada T20 – Anwar

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) — Golongan berpendapatan tinggi (T20) tidak akan menerima manfaat subsidi bagi penggunaan elektrik serta Bantuan Kewangan Haji, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Pangkalan Data Utama (PADU) akan digunakan untuk mengurus dan menyelaras penilaian agihan subsidi kepada golongan yang layak.

“Kita tidak naikkan kadar elektrik, melainkan untuk T20. Untuk T20 sahaja, iaitu rumah-rumah besar yang tidak akan diberikan subsidi elektrik.

“PADU akan dapat menyelaras semua angka-angka yang disebut. Ini sama dengan Bantuan Kewangan Haji, kepada B40 kita tambah. Bagi T20 tidak akan ada lagi tambahan atau pun subsidi daripada kerajaan. Mereka harus belanja sepenuhnya kos haji kerana mereka dalam kalangan yang mampu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) yang ingin tahu dasar-dasar baharu dan drastik yang dilaksanakan semenjak memimpin Malaysia bagi melonjakkan ekonomi negara, dengan mengambil kira risiko pengucupan ekonomi dunia.

Beliau berkata pengecualian subsidi itu adalah bagi melaksanakan pemberian subsidi yang lebih bersasar.

Kerajaan dapat jimat RM17 Bilion jika T20 tidak diberi subsidi bahan api 

Sebelum ini, media melaporkan persidangan Dewan Rakyat diberitahu bahawa kerajaan boleh jimat sehingga RM17 bilion sekiranya golongan T20 tidak diberikan subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pada 2022, penggunaan ketiga-tiga bahan api itu dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) hanya sekitar 24 peratus, manakala berpendapatan sederhana (M40) sebanyak 41 peratus dan kumpulan T20 adalah 35 peratus.

“Dari segi angka ialah RM50.8 bilion, kalau darab dengan 35 peratus yang digunakan T20 nilainya RM17.8 bilion.

“Jika T20 tidak diberikan subsidi petrol, diesel dan LPG, anggaran penjimatan RM15 bilion ke RM17 bilion, jadi Ahli-ahli Yang Berhormat boleh bayangkan berapa banyak perkara lain yang kita boleh gunakan untuk bantu rakyat dalam pelbagai urusan di 26 kementerian,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Sumber: BERNAMA

The post Tiada Subsidi Elektrik, Bantuan Kewangan Haji Kepada T20 – Anwar appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*