Tiga Suspek Diberkas Didakwa Belasah Penghantar Makanan, Suspek Utama Positif Dadah

tiga suspek diberkas penghantar makanan

Tiga Suspek Diberkas Didakwa Belasah Penghantar Makanan, Suspek Utama Positif Dadah

Bahana tindakan didakwa membelasah seorang penghantar makanan yang menjadi tular di media sosial, tiga orang suspek termasuk dua orang lagi rakannya telah diberkas semalam.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh  Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong melalui laporan Sinar Harian.

Menurut beliau, ketiga-tiga suspek yang merupakan lelaki warga tempatan telah ditahan di sekitar Klang pada 6.30 petang. Mereka yang berumur diantara 28 hingga 39 tahun itu merupakan pekerja trak penunda.

Suspek-suspek pernah memiliki sejarah penyalahgunaan dadah

Jelasnya, suspek utama bersama dua orang rakannya didapati memiliki sejarah kes penyalahgunaan dadah sebelum ini.

“Saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek utama terbabit positif dadah jenis methamphetamine. Selain itu, semakan dijalankan turut mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod berkaitan dadah,”

Beliau telah berkata sedemikian satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, hari ini.

BACA: Simulasi Superkomputer Ramal Bila Waktu Manusia Akan Pupus Dari Muka Bumi

Orang ramai diseru untuk membantu siasatan

Selain itu, beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lain berhubung kejadian tersebut untuk membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan menerusi talian 03-33762222 atau pada balai polis berhampiran dengan kediaman.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat bawah Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sebelum ini, seorang penghantar makanan telah dibelasah selepas didakwa membunyikan hon terhadap sebuah kereta pada Ahad lepas.

Kejadian tersebut telah tular di media sosial dan menimbulkan kecaman warga maya serta meminta agar suspek terlibat segera diberkas pihak polis.

Susulan itu,  pihak polis telah menjalankan operasi pencarian suspek bagi membantu siasatan kes.

Terdahulu, menurut Sinar Harian, mangsa yang merupakan seorang penghantar makanan berusia 21 tahun telah membuat laporan polis pada 12.44 pagi, Isnin.

Dalam laporan tersebut, lelaki tersebut menyatakan bahawa dia telah ditahan sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki tiga orang lelaki pada Ahad, jam 7.15 malam.

Menurut Asisten Komisioner Cha Hoong Fong lagi, salah seorang daripada kumpulan lelaki tersebut telah memukul dan merosakkan motosikal pengadu.

“Hasil siasatan mendapati pengadu yang menaiki motosikal jenis Yamaha 135 LC telah membunyikan hon pada sebuah kereta jenis Proton Saga kerana memandu secara berbahaya dan hampir melanggarnya.

“Ekoran itu, pemandu kereta tersebut telah menghalang pergerakan pengadu di persimpangan lampu isyarat Jalan Langat – Klang dan seorang suspek telah menolak pengadu hingga jatuh daripada motosikal, seterusnya mencekik, menumbuk muka, menendang perut serta kaki pengadu beberapa kali,” katanya.

BACA: Rasmi Bermula Hari Ini, Boleh Bayar Di 11 Tol Ini Guna Kad Debit & Kredit

Sumber: Sinar Harian, Laporan terdahulu Sinar Harian

The post Tiga Suspek Diberkas Didakwa Belasah Penghantar Makanan, Suspek Utama Positif Dadah appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*