Tinggal Kerja Gaji RM10k, Tak Sangka ‘Donut Nenen’ Ubah Hidup Sekelip Mata

donut nenen

Tinggal Kerja Gaji RM10k, Tak Sangka ‘Donut Nenen’ Ubah Hidup Sekelip Mata

Dua sekawan tidak menyangka perniagaan yang dilakukan dengan niat hanya sekadar mengisi masa lapang pada awalnya, kini menggantikan kerja hakiki yang perlu dilakukan seumur hidup.

Kisah sebegini sudah biasa kita dengar, namun tidak semua episodnya berakhir dengan penamat yang memberangsangkan susulan dunia perniagaan ini sendiri sudah ‘termaktub’ ada plot pasang surutnya yang berbeza dengan bidang lain.

Sudah tentu, setiap pekerjaan mempunyai kelemahan dan kekuatan yang tersendiri tetapi bak kata orang kita, ‘hanya yang kental sahaja dapat bertahan niaga’.

Seperti kisah dua sekawan ini, di mana mereka mula berniaga hanya kerana mahu mendapatkan pendapatan sampingan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuat kuasakan pada tahun 2021 lalu.

Umum mengetahui, PKP yang melanda negara pada dua tahun lepas semestinya mengubah kedudukan ekonomi negara hingga menjejaskan rakyat dan ramai mula memikirkan jalan lain untuk menyara kehidupan.

Begitu juga dengan Siti Rohanom, 30, dan Nur Hidayah, 25, yang menjadikan PKP sebagai batu loncatan memulakan perniagaan Donut Nenen.

Gambar: Siakap Keli

Siti Rohanom atau lebih mesra dipanggil Obby berkata dia mahu membawa keunikan yang belum pernah dibuat orang dan disebabkan itu perniagaannya dinamakan Donut Nenen, yang memfokuskan tentang donut susu pada awalnya.

“Sebenarnya, sebelum Donut Nenen, kami letak (nama) Donut Susu. Logo semua sudah siap tetapi ada satu malam itu, saya cakap dengan Nur Hidayah:

Kita cuba lain daripada lain nak? Donut Susu macam sudah ada namanya. Aku nak letak Donut Nenen

“Haa. ini tercetus daripada mulut saya sendiri macam spontan. Tetapi mereka tidak setuju, sebab perkara itu sensitif. Tetapi saya sudah biasa, panggil nenen itu susu,” kata Obby.

“Selepas itu, saya pun semak dalam kamus, betul ke nenen itu susu. Rupanya betul nenen itu susu,” sambut Nur Hidayah yang lebih mesra dengan panggilan Dayah ketika ditemu bual dalam segmen Komitmen, Ini Kisah Aku.

Nama unik tidak menjamin dapat  tarik pelanggan

Menceritakan kembali, Obby berkata walaupun nama yang diberikan agak unik namun ia tidak menyumbang kepada orang ramai untuk datang membeli di kedai mereka.

Gambar: Siakap Keli

“Semasa pertama kali jualan, kami buka tepi jalan di Kota Warisan. Kami tidak dapat sambutan yang menggalakkan berminggu-minggu kedai dibuka.

“Kemudian, ada individu ini, tularkan kedai kami di TikTok. Tular sebab kena kecam kerana nama kedai, tapi kami tetap teruskan sahaja,” katanya.

Apabila negara berada di fasa pemulihan dan PKP juga dilonggarkan, mereka berdua kembali pada pekerjaan hakiki dan perniagaan Donut Nenen dihentikan pada seketika.

Meskipun ia berada di fasa jeda namun permintaan ramai membuatkan mereka mahu membincangkan semula tujuan hidup.

Tinggalkan kerja gaji hampir 10K demi Donut Nenen

Mereka membuat keputusan untuk menjadikan ia sebagai kerja sambilan, namun selepas melakukan timbang tara mereka hanya boleh memberikan tumpuan sepenuhnya kepada satu pekerjaan sahaja.

Gambar: Siakap Keli

“Itu satu keputusan yang sangat susah kerana tiap-tiap bulan terima gaji, kalau berniaga ia bergantung kepada keuntungan. 

“Semasa di C**** (jadi C**** Lady), gaji kami memang tidak lebih daripada RM10,000 kerana kami perlu buat perkhidmatan dan jual sekali barangan C****, paling kurang sebulan lima barang kena jual.

“KPI (C****) juga jatuh sebab kami fokus kepada kerja sambilan. Memang kena pilih salah satu dan kami tekad untuk berhenti dan ceburi bidang perniagaan ini,” jelasnya.

Bagi Obby, perniagaan sedikit berbeza dengan bidang yang lain susulan bergantung kepada pendapatan harian tetapi oleh kerana sudah bertekad mereka pilih untuk hadapi cabaran yang bakal mendatang.

“Ada masa kami rasa down sangat kerana tidak dapat keuntungan sehingga kami terpaksa menggunakan duit simpanan sendiri untuk bayar gaji pekerja dalam tiga hingga empat bulan.

“Untuk tambah pendapatan, kami cuba inisiatif dengan menjual luar daripada Cyberjaya. Kami buka di Sentul selama tiga hari tetapi tiada sambutan.

“Bila buka di Kota Warisan semula, alhamdulillah ramai yang datang kerana mereka (pelanggan) sudah kenal kami,” katanya.

Donut Nenen kini dikenali Tasti Dough

Dalam memastikan perniagaannya mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan peringkat antarabangsa, mereka juga telah menamakan semula perniagaannya kepada Tasti Dough.

Gambar: Siakap Keli

Mereka juga turut melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan menghadiri kursus berkenaan doh supaya tekstur yang ditampilkan lembut walaupun dimakan ketika sejuk.

“Kita tukar nama sebab sensitivity, kedua kami mahu grow perniagaan kerana nama Donut Nenen itu tidak commercial, sebab itu tercetusnya Tasti Dough.

“Tasti Dough bukan sahaja donut kerana akan datang kami akan jual lain daripada donut. Dough ini pelbagai jenis boleh buat seperti pizza, croissant dan lain-lain,” katanya.

Pada ketika ini, Tasti Dough menampilkan enam menu iaitu Donut Nenen (susu), Chocolate, Choc Cheese, Cheese, Gula dan campuran.

Gambar: Siakap Keli

Bagi mereka yang ingin memberi sokongan kepada Tasti Dough, boleh dapatkan di Masreca, Cyberjaya beroperasi setiap hari kecuali Isnin pada 12 tengahari hingga 7.30 petang.

Saksikan temu bual yang dibawakan khas oleh Siakap Keli bersama Tasti Dough di Youtube atau di bawah ini.

The post Tinggal Kerja Gaji RM10k, Tak Sangka ‘Donut Nenen’ Ubah Hidup Sekelip Mata appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*