Tolong Jaga Anak-anak, Pesan Mohammad Taufiq Kepada Ibu

mohammad taufiq ibu

Tolong Jaga Anak-anak, Pesan Mohammad Taufiq Kepada Ibu

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) — “Mama tolong jaga anak-anak. I love you so much, take care,” itu kata-kata terakhir mangsa nahas kapal terbang terhempas berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Allahyarham Mohammad Taufiq Mohd Zaki kepada ibunya sebelum berlepas ke Langkawi pada Rabu lepas.

Mengingati pesanan Allahyarham itu, Rohani Mohamed Ibrahim, 62, berkata beliau akan terus membantu menantunya Suzana Paiman, 38, untuk menjaga empat cucu lelaki yang berusia tiga hingga 10 tahun.

“Isteri dia tidak bekerja. Saya dan suami hantar (cucu) pergi sekolah (semasa) dia (Allahyarham) bekerja di luar kawasan,” katanya kepada pemberita di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana di sini hari ini.

Terdahulu, jenazah Mohammad Taufiq yang merupakan pegawai khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai Datuk Seri Johari Harun selamat dikebumikan di tanah perkuburan itu pada kira-kira 1 tengah hari.

Berkongsi perwatakan Allahyarham, sambil menitiskan air mata Rohani berkata Mohammad Taufiq, yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik, adalah seorang yang amat mengambil berat terhadap kedua ibu bapanya.

BACA: 46 Tahun Berlalu, Tragedi Pesawat Terhempas Di Elmina Imbau Insiden Japan Airlines 715

“Dia mengambil berat tentang mak ayah dia. Dia pergi mana-mana pun akan telefon tanya mama dah makan? Mama bagaimana? Dia anak yang baik, dia tidak menyusahkan kita,” katanya.

Mohd Zaki Abd Kadir, 69, pula berkata dua cucunya telah dimasukkan ke hospital kerana dijangkiti virus influenza sebelum Mohammad Taufiq berlepas ke Langkawi.

“Sebelum arwah pergi Langkawi, dia hantar anak dia ke Hospital Ampang Puteri. Dua anak dia kena influenza. Itu yang dia cakap dekat mak dia tolong jaga anak dia,” katanya.

Dalam insiden pada Khamis lepas, pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor, telah mengakibatkan 10 individu maut termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun.

Lapan yang maut adalah enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu manakala dua lagi orang awam masing-masing penunggang motosikal serta pemandu kereta yang melalui kawasan kejadian.

Sumber: BERNAMA

The post Tolong Jaga Anak-anak, Pesan Mohammad Taufiq Kepada Ibu appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*