Tony Fernandes Dinobat Sebagai “Asia Pacific CEO Of The Year”

tony fernandes ceo

Tony Fernandes Dinobat Sebagai “Asia Pacific CEO Of The Year”

SINGAPURA —Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Berhad, Tan Sri Tony Fernandes dinobatkan sebagai ‘Asia Pacific CEO of The Year’ bagi Anugerah Aviation 100 Asia Pasifik 2023 oleh Airline Economics bertempat di Singapura hari ini, lapor Sinar Harian.

Menurut Pengarah Urusan Airline Economics, Philip Tozer-Pennington, berdasarkan nilai kepimpinan luar biasa dan sumbangan dalam industri penerbangan, Tony Fernandes sememangnya layak diiktiraf bagi anugerah tersebut.

“Visinya dan kesetiaannya bukan sahaja telah mengubah AirAsia dan Capital A tetapi juga telah meninggalkan kesan yang positif dalam landskap penerbangan yang lebih luas di rantau Asia Pasifik.

“Anugerah ini adalah satu bukti kepada pencapaiannya yang cemerlang, dan kami bangga untuk meraikan kejayaannya,” ujarnya sempena majlis penganugerahan tersebut.

Tambahan lagi, anugerah tahunan tersebut adalah untuk menghargai serta meraikan sumbangan pemimpin terunggul dalam bidang itu.

BACA JUGA: Kereta Tak Hidup Sebab Bateri Hampir ‘Kong’, Ini Yang Anda Perlu Lakukan

Difahamkan, sekitar 700 individu profesional dalam industri penerbangan hadir dalam majlis itu sempena Persidangan Airline Economics Growth Frontiers Asia Pasifik.

Pemilihan individu yang layak dilakukan oleh pakar industri, termasuk syarikat penerbangan, pemilik pesawat, bank, firma guaman, dan pemegang kepentingan utama lain menerusi proses pengundian.

Undian anugerah ini merupakan proses menyeluruh meliputi sepanjang tahun, terdiri daripada undian yang khusus kepada setiap aspek.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun berkata pemilihan anugerah tersebut tepat dengan waktunya. Hal ini berikutan sektor penerbangan kembali pulih sejurus pandemik COVID-19.

Jelasnya lagi, sebuah kumpulan perkhidmatan penerbangan dan pelancongan yang berharga dapat menonjolkan nilai yang dibawa terhadap pelanggannya.

“Tahniah kepada rakan saya, Tony atas pencapaian hebat ini kerana ia mencerminkan kerja keras, ketabahan, dan kesetiaan semua Allstars di seluruh Capital A.

“Melangkah ke depan, kami akan terus merealisasikan misi kami dalam memberikan pengalaman pelanggan yang tiada tandingan di samping terus memberikan sumbangan positif kepada ekonomi dan industri, di peringkat serantau dan seterusnya,”maklumnya.

Dalam pada itu,  Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Capital A, Pattra Boosarawongse juga berbangga pengiktirafan  Tony Fernandes di atas anugerah penerbangan yang berprestij tersebut.

“Kami amat berbangga dengan Ketua Pegawai Eksekutif kami kerana telah menerima anugerah penerbangan yang berprestij ini daripada pihak bank dan pemilik pesawat.

“Daya pandang strategiknya dalam menghadapi cabaran dinamik untuk menyeimbangkan kewangan dalam industri ini telah menjadi asas kejayaan kami, dan kami yakin kami akan terus melebarkan sayap di atas ketidakstabilan pasaran dengan asas kewangan yang kukuh, di bawah pimpinan dan bimbingannya,” maklumnya.

Sumber: Sinar Harian

The post Tony Fernandes Dinobat Sebagai “Asia Pacific CEO Of The Year” appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*