Tumbuk Ibu Enggan Beri RM10, Buruh Sawit Dipenjara Setahun

buruh sawit dipenjara

Tumbuk Ibu Enggan Beri RM10, Buruh Sawit Dipenjara Setahun

TELUK INTAN, 30 Nov (Bernama) — Seorang buruh kebun sawit dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas ibu kandungnya yang enggan memberi wang, pada Isnin lepas.

Majistret T.  Ashvinii memerintahkan tertuduh, 29, dijatuhi hukuman itu bermula tarikh tangkap iaitu pada hari kejadian.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki terbabit dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas mangsa, 50, yang merupakan ibu kandungnya di sebuah rumah dalam bangunan pejabat DAP, Lorong Taman Langkap Jaya di sini, kira-kira 3 petang 27 Nov lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda dari tempoh maksimum pemenjaraan untuk kesalahan di bawah seksyen yang berkaitan jika sabit kesalahan.

BACA: Penganggur Terlepas Tuduhan Bunuh Bapa Saudara

Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan memohon hukuman bersifat pengajaran dikenakan kepada tertuduh dengan mempertimbangkan kecederaan kepada wanita berkenaan dan punca tertuduh meminta wang yang berlaku di depan khalayak ramai.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, F. Faustina yang mewakili tertuduh merayu hukuman minimum dengan alasan anak guamnya yang masih bujang perlu menanggung ibu bapa dan pengakuan bersalah menjimatkan masa mahkamah.

Mengikut fakta kes, tertuduh meminta wang sebanyak RM10 dan disebabkan ibunya enggan memberikan wang, dia bertindak menumbuk lengan kiri ibunya yang ketika itu berada bersama dua rakannya.

Ibunya yang enggan memberi tertuduh wang kerana mendakwa anaknya itu menghisap dadah membuat laporan polis kerana kejadian itu sering berlaku, dan bimbang terjadi perkara tidak baik terhadap beliau di kemudian hari.

Sumber: BERNAMA

The post Tumbuk Ibu Enggan Beri RM10, Buruh Sawit Dipenjara Setahun appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*