United Capai Persetujuan 25 Peratus Saham Untuk Sir Jim Ratchliffe

United Capai Persetujuan 25 Peratus Saham Untuk Sir Jim Ratchliffe

MANCHESTER — Pengurusan Kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United PLC dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah mencapai persetujuan bersama Pengerusi INEOS, Sir Jim Ratcliffe bagi pemberian 25 peratus saham kelab itu.

Dalam kenyataan tersebut, United mengumumkan Sir Jim bakal memperoleh 25 peratus saham Manchester United (Kelas A) dan (Kelas B).

Difahamkan, tambahan $300 juta (RM1.38 bilion) juga disediakan oleh pemilik syarikat itu bagi tujuan pelaburan masa depan Old Trafford. Ia termasuk $200 juta (RM926 juta) yang dibayar semasa penutupan transaksi dan tambahan $100 juta (RM463 juta) menjelang akhir 2024.

Urus niaga tersebut akan dibiayai sepenuhnya oleh Trawlers Limited sebuah syarikat yang diperbadankan di bawah undang-undang Isle of Man dan dimiliki sepenuhnya oleh Sir Jim tanpa sebarang hutang.

Lembaga Pengarah United berkata sebahagian transaksi itu akan diselia oleh INEOS. Ia merangkumi semua aspek pengurusan akademi bola sepak lelaki dan wanita termasuk dua kerusi di papan Manchester United PLC.

Gambar: AFP

Sementara itu, billionaire dari British itu menyatakan hasrat bersama The Red Devils dalam mewujudkan pembangunan pengurusan bola sepak bertaraf dunia termasuk dari segi dalaman mahupun luar padang.

Katanya lagi, beliau sebagai anak tempatan dan peminat kelab itu sangat gembira dengan persetujuan oleh United.

BACA: Lelaki Maut Bergaduh Dengan Abang Teman Wanita

“Sebagai anak tempatan dan penyokong seumur hidup Manchester United, saya sangat gembira kerana kami telah mencapai persetujuan perjanjian dengan Lembaga Manchester United yang mewakilkan kepada kami tanggungjawab terhadap pengurusan kelab bola sepak.

“Meskipun potensi kelab ini sedikit tenggelam sejak kebelakangan ini. Dengan kepakaran sedia ada, kami akan membawa pengetahuan, kepakaran dan bakat global yang luas daripada Kumpulan INEOS Sport bagi membantu peningkatan selanjutnya pada kelab.

“Di samping itu, kami turut menyediakan dana yang bertujuan untuk membolehkan pelaburan masa depan Old Trafford,” katanya.

Mengulas lebih lanjut, Sir Jim berkata beliau akan berada di United dalam jangka masa panjang. Justeru, beliau menyedari bahawa banyak cabaran dan usaha yang perlu dilakukannya di sini.

“Kami akan menghadapi segala cabaran ini dengan teliti, profesionalisme dan penuh semangat. Kami komited untuk bekerjasama dengan semua orang di United termasuk Lembaga Pengarah, kakitangan, pemain dan peminat bagi membawa kembali zaman kegemilangan kelab ini pada masa hadapan.

“Matlamat kami sangat jelas iaitu membawa Manchester United kembali di puncak bola sepak Inggeris, Eropah dan dunia di mana kelab itu sepatutnya dipandang,” jelasnya lagi.

Gambar: PAUL ELLIS/AFP

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif bersama, Avram Glazer dan Joel Glazer berkata kehadiran Sir Jim ke United adalah satu khabar gembira.

“Kami gembira dapat memeterai persetujuan bersama Sir Jim Ratcliffe dan INEOS.

“Sebagai sebahagian daripada semakan strategik yang kami umumkan pada November 2022, kami komited untuk melihat pelbagai alternatif untuk membantu meningkatkan Manchester United, dengan tumpuan kepada kejayaan bagi pasukan lelaki, wanita dan akademi kami.

“Sir Jim dan INEOS membawa banyak pengalaman komersial serta komitmen kewangan yang signifikan dalam kelab. Menerusi INEOS Sport juga, United bakal mempunyai akses kepada pengurusan profesional berprestasi tinggi dan aspek kepimpinan pasukan elit dari dalam dan luar permainan,” kata pemilik United itu.

BACA JUGA: Madrasah Al-Fattah Terbakar, 20 Pelajar Sempat Larikan Diri

Tambah mereka, United sememangnya mempunyai pemain berbakat di dalam kelab itu.

Sehubungan itu, keluarga Glazer berhasrat kehadiran Sir Jim dapat membawa peningkatan pada setiap tahap dan lebih banyak kejayaan buat seluruh peminat United pada masa hadapan.

Walau bagaimanapun, urus niaga ini tertakluk kepada peraturan biasa dan bakal diselesaikan secepat mungkin.

Sumber: Manchester United

The post United Capai Persetujuan 25 Peratus Saham Untuk Sir Jim Ratchliffe appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*