UNITEN Tawar Tajaan Yuran Pengajian Kepada Pelajar Palestin

Sejak 7 Oktober, masyarakat dunia kembali tertumpu kepada perkembangan semasa konflik Palestin-Israel yang telah berlanjutan sejak berdekad lamanya, dan terkini telah mengakibatkan ribuan nyawa terkorban serta kemusnahan harta benda. Malaysia yang konsisten menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin sejak dahulu, turut sekali lagi membantah kekejaman rejim Zionis Israel pada malam tadi melalui himpunan 16,000 orang rakyat Malaysia dari pelbagai agama dan etnik yang turut menyaksikan kehadiran YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Susulan itu, atas dasar dan semangat kebersamaan meringankan beban rakyat Palestin, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menawarkan tajaan yuran pengajian di sepanjang tempoh pengajian untuk semua pelajar baharu sesi pendaftaran akademik 2023/2024 yang berasal dari Palestin.

Naib Canselor UNITEN, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, ketika mengumumkan perkara ini berkata, “Keseluruhan warga UNITEN sentiasa komited dan seiring dengan Kerajaan bagi memastikan sokongan penyelesaian praktikal kepada isu konflik Palestin-Israel yang rumit ini.”

“Kami percaya penghuluran bantuan kepada pelajar Palestin dalam menggapai cita-cita mereka menerusi bidang pendidikan tinggi di Malaysia adalah antara kaedah terbaik dan rasional yang menghala ke arah penemuan penyelesaian yang bermanfaat untuk negara mereka satu masa nanti. Saya secara peribadi yakin yang kejayaan dalam bidang pendidikanlah yang akan membangun dan memerdekakan bumi Palestin kelak.”

“Penawaran pengecualian yuran pengajian kepada pelajar-pelajar yang berasal dari Palestin kemasukan baharu bagi tahun pengajian 2023/2024 ini adalah tanda keprihatinan dan solidariti UNITEN dalam isu kemanusiaan yang rumit ini.”

Tawaran ini meliputi kesemua program pengajian di keseluruhan kampus UNITEN. Sebarang maklumat lanjut mengenai tawaran ini boleh didapati melalui Puan Renee Marcia, Pengarah, Jabatan Pemasaran, Kemasukan, dan Hubungan Pelanggan UNITEN di renee@uniten.edu.my

Untuk rekod, UNITEN turut komited untuk berkerjasama dengan agensi-agensi kemanusiaan dan organisasi berkaitan yang diiktiraf Kerajaan dalam menyalurkan bantuan ke bumi Palestin.

The post UNITEN Tawar Tajaan Yuran Pengajian Kepada Pelajar Palestin appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*