Video Tular Pukul Gelandangan: Polis Tahan Tiga Remaja Lelaki

remaja pukul gelandangan

Video Tular Pukul Gelandangan: Polis Tahan Tiga Remaja Lelaki

SHAH ALAM, 5 Jun (Bernama) — Polis menahan tiga remaja lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian pukul seorang individu dipercayai gelandangan menggunakan besi pemukul besbol di bawah jambatan sekitar Pelabuhan Klang, dekat sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata ketiga-tiga suspek yang berusia 16 tahun itu ditahan di sekitar Klang, bermula kira-kira pukul 3 pagi tadi.

Beliau berkata siasatan mendapati seorang daripada suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau selain polis turut merampas tiga telefon bimbit serta sebuah kereta Proton Wira bagi tindakan lanjut.

BACA JUGA: Polis Siasat Ahli Politik Didakwa Pukul, Pijak Perut Isteri Sedang Hamil

“Hasil siasatan awal mendapati bahawa terdapat tiga kejadian melibatkan mangsa yang berbeza dan polis sedang mempergiatkan usaha mengesan mangsa tersebut.

“Pihak polis juga dalam usaha untuk mengesan dan menangkap seorang lagi suspek yang masih bebas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Cha berkata Mahkamah Majistret Klang membenarkan kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga Rabu ini dan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, selain kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan arahan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sumber: BERNAMA

The post Video Tular Pukul Gelandangan: Polis Tahan Tiga Remaja Lelaki appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*