Warga Putrajaya Teruja Lihat Persiapan Sambutan Hari Kebangsaan Yang Janjikan Kemeriahan

sambutan hari kebangsaan putrajaya

Warga Putrajaya Teruja Lihat Persiapan Sambutan Hari Kebangsaan Yang Janjikan Kemeriahan

PUTRAJAYA, 26 Ogos (Bernama) — Berbaki lima hari menjelang Sambutan Hari Kebangsaan, rata-rata warga Putrajaya nyata teruja melihat persiapan rapi sambutannya di sini, tidak sabar lagi hendak menyaksikan sendiri persembahan dan pertunjukan yang bakal berlangsung pada 31 Ogos nanti.

Penjawat awam Khairul Nadzrin Khairul Zaman, 33, berkata beliau berasa bangga kerana pusat pentadbiran kerajaan itu terpilih sebagai lokasi yang disifatkan sebagai lain dari yang lain, dan dia juga tidak sabar untuk melihat Putrajaya dipenuhi pengunjung bagi memeriahkan acara sambutan tahunan itu.

“Pada saya hari kemerdekaan ini merupakan satu penanda aras atau pencetus untuk kita terus mengekalkan perpaduan negara, walau apa yang berlaku dalam negara dengan situasi semasa politik yang berlaku sekarang ini.

“… dengan adanya sambutan Hari Kebangsaan ia sedikit sebanyak mengetepikan perbezaan politik dan semua bersatu padu, bekerjasama dalam menyambut Hari Kebangsaan,” katanya ketika ditemui semasa menyaksikan Raptai Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya hari ini.

Bagi Maslinda Abdul Majid, 36, walaupun ini bukan kali pertama Putrajaya bakal menyaksikan acara sambutan itu, ia tetap memberikan makna istimewa memandangkan sebelum ini ia disambut dalam keadaan sederhana sewaktu wabak COVID-19 melanda negara.

Maslinda yang sebelum ini pernah menyertai sendiri perbarisan Hari Kebangsaan melalui kontinjen Kementerian Pendidikan tahun lepas turut menggalakkan orang ramai untuk hadir di sini, kerana ia bukan sahaja dapat mendedahkan mereka kepada aset dimiliki negara malah dapat memberikan satu penghayatan dalam menyemai semangat patriotisme dalam diri masing-masing.

Pesara kerajaan Halimatun Abdul Karim, 64, pula berpandangan Putrajaya merupakan lokasi yang sesuai untuk diadakan sambutan Hari Kebangsaan kerana kawasannya yang luas dapat memberikan keselesaan kepada pengunjung.

“Bagi saya bagus buat di sini sebab ia dapat mendedahkan apa yang ada di Putrajaya. Penjawat awam yang ada di sini dan pengunjung pun boleh datang dan juga pelancong boleh lihat macam mana kita sambut Hari Kebangsaan kita,” katanya.

Bertemakan Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, 10 komponen kontinjen akan menyertai acara perbarisan dan perarakan pada 31 Ogos iaitu Kenegaraan; Perpaduan Malaysia MADANI; Ekonomi; Perbankan; Telekomunikasi; Industri Kreatif; Komuniti; Sukan Negara; Kesejahteraan dan Keselamatan Negara.

Antara acara menarik pada Sambutan Hari Kebangsaan 2023 ialah persembahan khas Malaysia MADANI yang menampilkan artis terkenal tempatan dan persembahan gendang khas MADANI.

Acara menarik lain adalah aksi terjunan tepat oleh VAT 69 dari Polis Diraja Malaysia (PDRM); perarakan cosplay dan pelbagai maskot watak terkenal; perarakan 30 kereta vintaj yang membawa 30 orang terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia; dan perarakan 30 ekor kuda dari Unit Berkuda PDRM.

Putrajaya sebelum ini menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan pada tahun 2003, 2005, 2018 dan 2019.

BACA: “Jangan Sesekali Dibuat Main”, Zarul Umbrella Dedah Tiga Perkataan ‘Haram’ Disebut Dalam Pesawat

Sumber: Bernama

The post Warga Putrajaya Teruja Lihat Persiapan Sambutan Hari Kebangsaan Yang Janjikan Kemeriahan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*