Warga UNITEN Bersolidariti Untuk Palestin

Seiring dengan komitmen teguh Kerajaan Malaysia, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menyuarakan sokongan dan solidariti terhadap hak dan kebebasan rakyat Palestin dengan menganjurkan program Solidariti UNITEN bersama Palestin. Dalam semangat kebersamaan, UNITEN telah berjaya menghimpunkan hampir 1,000 warga universiti termasuk pengurusan tertinggi UNITEN, pelajar, wakil daripada komuniti pelajar Palestin serta warga kerja menyertai program Solidariti UNITEN bersama Palestin di sini.

Naib Canselor UNITEN, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman menzahirkan tanda solidariti kepada rakyat Palestin di Gaza juga rakyat Palestin yang berada di Malaysia dan di seluruh dunia. ”Saya menyeru warga UNITEN untuk bersama-sama menunjukkan kebersamaan dan kemanusiaan kita, serta mengecam kezaliman yang menimpa rakyat Palestin. Tindakan kejam zionis mencabuli hak asasi manusia dan hukum antarabangsa, meninggalkan luka mendalam pada umat manusia,” dalam ucapannya.

Program yang berlangsung di Sunken Garden, Bangunan Pengurusan UNITEN ini merupakan tanda sokongan UNITEN dan kesedaran terhadap krisis yang dihadapi oleh rakyat Palestin. Mereka membawa Jalur Gemilang dan bendera Palestin, memakai mafela dan ’head band’ bermotif Palestin, plakad serta melaungkan ‘Palestin’, ’Free Palestin’ bagi mengecam tindakan kejam tentera Israel terhadap rakyat Palestin.

Solidariti yang bermula sejak 30 Oktober yang lalu, diisi dengan pelbagai aktiviti yang menarik, seperti, perkongsian pelajar Palestin, ceramah Pensyarah Tahfiz UNITEN berkaitan konflik Palestin, solat hajat, bacaan qunut nazilah dan lain-lain lagi.

Semasa perhimpunan solidariti ini, wakil pelajar dari Palestin, Motasem W A Jad, jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik Kuasa (Kepujian) di UNITEN berkongsi pengalaman beliau berada di Palestin serta penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin. “Perjuangan rakyat Palestin dalam menentukan nasib sendiri telah menjadi aspek yang penting dalam kisah perjuangan kami. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan seperti pengusiran dan sikap perikemanusiaan yang kejam selama puluhan tahun, namun tekad kami tetap kuat. Ketabahan ini mengingatkan bahawa walaupun dalam keadaan yang sukar, kami berdiri dengan kukuh dan tidak goyah,” katanya.

Sementara itu, warga kerja UNITEN, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Sivadass a/l Thiruchelvam ketika ditemui berkata isu yang berlaku di Palestin itu seharusnya dirasai dan difahami oleh semua. Menurutnya, semua pihak tanpa mengira agama perlu menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah air mereka dan mengecam sekeras-kerasnya sikap tidak berperikemanusiaan rejim Zionis. “Saya hadir di sini sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin dan mengutuk kekejaman dan kezaliman yang berlaku. Program ini adalah satu manifestasi keprihatinan kita terhadap nilai kemanusiaan sejagat. Apa yang berlaku di Palestin adalah isu kemanusiaan dan keamanan dan ia adalah hak kita sesama insan,” katanya ketika ditemui semasa solidariti.

UNITEN mempunyai sepuluh pelajar aktif yang berasal dari Palestin. Justeru, dalam usaha membantu rakyat Palestin yang terkesan teruk akibat serangan rejim Israel ke atas wilayah Gaza, UNITEN melancarkan Tabung Prihatin Palestin UNITEN bagi membantu rakyat Palestin yang terjejas.

UNITEN mengajak seluruh warga kampus untuk menyertai usaha ini dengan memberikan sumbangan mereka melalui tabung kemanusiaan. Setiap sumbangan akan membantu meringankan beban rakyat Palestin yang sedang berjuang untuk mempertahankan hak dan keadilan mereka.

Selain program Solidariti UNITEN bersama Palestin, UNITEN juga telah mengambil inisiatif untuk menawarkan tajaan yuran pengajian kepada pelajar Palestin yang baharu bagi sesi pendaftaran akademik 2023/2024. Ini adalah langkah praktikal yang diambil untuk membantu pelajar Palestin meneruskan pendidikan mereka di tengah-tengah kesukaran dihadapi.

The post Warga UNITEN Bersolidariti Untuk Palestin appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*