10 syarikat Malaysia suarakan hasrat telibat pembangunan Nusantara – Anwar

PUTRAJAYA – Sebanyak 10 syarikat dari Malaysia telah menyuarakan hasrat untuk terlibat sama dalam pembangunan ibu kota baharu Indonesia, Nusantara yang bakal dibuka awal tahun hadapan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan surat niat (LoI) antara syarikat Malaysia juga Indonesia.

“Menyaksikan Majlis Pertukaran MoU dan LoI antara syarikat Malaysia dan Indonesia sebaik tiba di Jakarta. Menerusi kerjasama ini, Malaysia secara rasmi menyatakan hasrat untuk terlibat sama dalam pembangunan ibu kota baharu Indonesia, Nusantara.

“Hasrat berkenaan telah disuarakan oleh 10 syarikat Malaysia menerusi 11 LoI,” katanya dalam satu perkongsian di laman media sosial hari ini.

Tambah Anwar, Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula berhasrat meneroka peluang untuk terlibat dalam sektor tenaga termasuk tenaga diperbaharui.

“Semoga segala kerjasama ini akan dipermudahkan demi kemakmuran Malaysia-Indonesia, Insya-Allah,” ujar beliau.

Anwar ketika ini berada di Jakarta untuk lawatan rasmi selama dua hari yang bermula hari ini.

Beliau dan isteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bertolak ke negara republik itu pada pukul 12.53 tengah hari tadi dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Turut serta dalam lawatan rasmi itu adalah Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Adlan Mohd. Shaffieq.

Difahamkan, sebanyak lapan memorandum persefahaman akan dimeterai di antara kedua-dua negara yang akan ditandatangani ketika sesi kunjungan Anwar ke atas Presiden Joko Widodo di Istana Bogor dijangkakan pukul 10 pagi esok.

Sebahagian besar memorandum berkenaan juga difahamkan akan melibatkan kerjasama pembangunan Nusantara kerana dijangka kesan pembukaan Nusantara bakal memberi limpahan ekonomi kepada Sabah dan Sarawak. – KOSMO! ONLINE.

The post 10 syarikat Malaysia suarakan hasrat telibat pembangunan Nusantara – Anwar appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*