12,350 OKU Berkerja Di Johor Dengan Gaji Maksimum RM1,500 Terima EPOKU

12,350 OKU Berkerja Di Johor Dengan Gaji Maksimum RM1,500 Terima EPOKU

12,350 OKU Berkerja Di Johor Dengan Gaji Maksimum RM1,500 Terima EPOKU

ISKANDAR PUTERI, 29 Nov (Bernama) — Sejumlah 12,350 Orang Kurang Upaya (OKU) yang bekerja di Johor dengan jumlah pendapatan maksimum RM1,500 menerima insentif Elaun Pekerja OKU (EPOKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin-Nisa Ismail @ Md On berkata hal ini selari dengan usaha kerajaan negeri menerusi jabatan terlibat yang sentiasa cakna dan prihatin dalam menjaga kebajikan dan mendayaupayakan golongan OKU.

Beliau berkata golongan OKU mempunyai hak dan peluang yang sama untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan industri.

“JKM juga menyediakan pusat latihan bagi melatih OKU seperti Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan yang memberikan perkhidmatan kepada OKU melalui latihan vokasional serta pemulihan perubatan.

“Selain itu, Bengkel Terlindung telah ditubuhkan mengikut Kaedah-Kaedah Workshop Terlindung 1979. Bengkel ini dikhaskan untuk OKU yang tidak berdaya saing untuk mendapat pekerjaan di pasaran terbuka,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Khairin-Nisa berkata bagi memastikan golongan OKU mampu berdikari, dapat bersaing dan kekal dalam alam pekerjaan, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) dan JKM Johor turut melaksanakan program Job Coach untuk membantu OKU mendapatkan pekerjaan dan pengekalan dalam pekerjaan.

Program Job Coach YPKDT katanya, menggunakan kaedah Open Employment Model yang diwujudkan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

“Sehingga kini, sebanyak 190 OKU yang mengikuti program di bawah Unit Pembangunan OKU YPKDT telah ditempatkan bekerja di sektor awam dan swasta dan masih bertahan,” kata beliau.

Selain itu, menurutnya sejumlah 58 penjawat awam yang berkhidmat di bawah Kerajaan Negeri Johor merupakan golongan OKU dalam pelbagai kategori.

“Inisiatif-inisiatif itu dilaksanakan dalam memperkasakan OKU di lapangan bagi tujuan menyokong aktiviti penempatan pekerjaan dan menjana pendapatan golongan berkenaan di negeri ini,” kata beliau.

Khairin-Nisa berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Aziz Abd Talib (PN-Maharani) dan N. Saraswati (BN-Kemelah) mengenai usaha kerajaan negeri dalam membantu golongan OKU untuk bekerja serta taraf kendiri dan kemahiran golongan itu.

BACA: Usia Kehamilan Lebih Awal Dari Tarikh Nikah? Kemungkinan Bunting Pelamin, Ini Maksudnya

Sumber: Bernama

The post 12,350 OKU Berkerja Di Johor Dengan Gaji Maksimum RM1,500 Terima EPOKU appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*