2023 Saksikan Pembebasan Ramai Figura Politik, Tokoh Terkemuka Daripada Kes Mahkamah

2023 saksikan pembebasan figura politik

2023 Saksikan Pembebasan Ramai Figura Politik, Tokoh Terkemuka Daripada Kes Mahkamah

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) —  Keputusan mahkamah yang membebas serta melepas tanpa membebaskan ramai figura politik dan tokoh terkemuka daripada pertuduhan jenayah sepanjang tahun ini telah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan orang ramai.

Pelbagai kejutan dan peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan kes individu terbabit telah menyaksikan keputusan mahkamah memihak kepada mereka sehingga membawa kepada pembebasan atau dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan yang dihadapi.

Antaranya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin serta isteri beliau Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes mengubah laporan audit membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 4 Sept lepas, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk menghentikan kes terhadap Presiden UMNO itu atas alasan ingin menyiasat kes tersebut dengan lebih mendalam.

Ini bermakna pendakwaan boleh membawa atau meneruskan semula kes itu terhadap Ahmad Zahid pada masa hadapan berdasarkan fakta dan bukti yang serupa dengan kes ketika ini.

Pendakwaan mengemukakan 11 alasan dalam permohonannya bagi menghentikan prosiding itu antaranya Ahmad Zahid telah membangkitkan isu yang serius dalam surat representasinya iaitu dakwaan bahawa beliau adalah mangsa pendakwaan terpilih oleh kerajaan sebelum ini.

Mahkamah sebelum ini telah mendengar keterangan 114 saksi termasuk Ahmad Zahid yang diperintah membela diri atas semua pertuduhan dalam perbicaraan yang bermula pada 18 Nov 2019.

Satu lagi kes yang menjadi tumpuan membabitkan Muhyiddin, yang dibebaskan pada 15 Ogos oleh Mahkamah Tinggi daripada empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan keempat-empat pertuduhan atas alasan ia adalah kabur, cacat dan tidak berasas kerana tidak menyatakan secara spesifik butiran kesalahan yang didakwa dilakukan.

Susulan itu, pendakwaan telah memfailkan rayuan dan kes itu akan didengar pada 28 dan 29 Feb tahun depan.

Bagaimanapun, Muhyiddin masih berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Tiga hari selepas kes Ahmad Zahid, mahkamah kembali mencuri tumpuan apabila Bung Moktar dan isterinya Zizie Izette dibebaskan daripada tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan sebanyak RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid selepas membenarkan permohonan pasangan tersebut untuk semakan terhadap perintah Mahkamah Sesyen agar mereka membela diri atas semua pertuduhan.

Beliau berkata perintah Mahkamah Sesyen agar pasangan itu membela diri adalah satu kekhilafan dan pendakwaan telah memfailkan rayuan pada 15 Sept terhadap keputusan tersebut.

Turut merancakkan gelanggang mahkamah tahun ini ialah pembebasan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy daripada pertuduhan berkaitan kes mengubah laporan audit 1MDB.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh dan Arul Kanda, yang dipanggil sebagai saksi telah membuat dapatan yang benar serta penuh semasa perbicaraan kes itu.

Pembebasan mereka kekal selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 12 Sept membatalkan dua notis rayuan oleh pendakwaan yang gagal difailkan dalam tempoh ditetapkan dan mereka juga tidak memfailkan permohonan bagi lanjutan masa bagi petisyen rayuan.

Perhatian kembali terarah ke Mahkamah Tinggi pada 9 Nov apabila Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dihukum penjara tujuh tahun dengan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, penyelewengan hartanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan bekas Presiden MUDA itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dan susulan keputusan itu, Syed Saddiq telah melepaskan jawatan dalam parti serta-merta.

Selain itu, pada 26 Jun, Mahkamah Sesyen di sini telah membebaskan bekas Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli daripada pertuduhan salah guna kuasa membabitkan perolehan kontrak pekerjaan bagi Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pembebasan Rozman kekal kerana pendakwaan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Sementara itu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1 pada 31 Mac telah menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda yang dijatuhkan terhadap beliau bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Permohonan itu adalah peluang terakhir Najib untuk mengetepikan sabitan terhadapnya. Pilihan terakhir beliau yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang ialah memohon pengampunan diraja, yang tertakluk kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, turut menarik nafas lega apabila pendakwaan menarik balik rayuan terhadap pembebasan beliau dalam dua kes pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Najib serta dua pertuduhan membuat pengisytiharan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ini bermakna pembebasan Muhammad Shafee bagi keempat-empat kes adalah kekal.

Pada 7 Sept, Mahkamah Majistret Shah Alam telah melepas tanpa membebaskan peguam dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir Muhammad Faiz Fadzil daripada pertuduhan mencabul kehormatan seorang jurujual selepas pendakwaan memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara menerima representasi beliau.

Selain itu, bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng Chong Hwa turut dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 9 Jan daripada empat pertuduhan bersubahat dengan syarikat itu dalam penjualan nota sekuriti dan bon bernilai US$6.5 bilion milik anak syarikat 1MDB sementara menunggu keputusan perbicaraan beliau di Amerika Syarikat.

Turut menjadi perhatian ramai ialah keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhi hukuman penjara 12 tahun ke atas pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali pada 3 Mei selepas didapati bersalah mengabai dan mendera seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Siti Bainun telah dihantar ke Penjara Kajang pada hari yang sama selepas mahkamah menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara itu dan rayuan beliau akan didengar di Mahkamah Tinggi pada 30 Jan tahun depan.

Satu lagi yang menjadi tajuk utama akhbar ialah kes ahli perniagaan tersohor Datuk SM Faisal SM Nasimuddin yang dibebaskan daripada Mahkamah Majistret daripada pertuduhan mencederakan bekas isterinya Emilia Hanafi lapan tahun lepas selepas wanita itu menarik balik kes tersebut.

Kes kerani wanita Sam Ke Ting yang didakwa memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 2017 kembali hangat diperkatakan selepas Mahkamah Rayuan pada 31 Mac membebaskan beliau daripada pertuduhan.

Mahkamah sebulat suara membenarkan rayuan Sam untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhi hukuman penjara enam tahun bagi kesalahan itu.

Turut menarik perhatian umum ialah kes membabitkan seorang remaja yang didapati bersalah menyebabkan kematian 23 orang dalam insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 2017. Ketika kejadian, dia berusia 16 tahun.

Pada 11 Sept, Mahkamah Rayuan telah mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi agar tertuduh, kini berusia 22 tahun, ditahan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas memutuskan bahawa keputusan itu adalah selamat.

Selain kes jenayah, 2023 turut menyaksikan banyak kes sivil diputuskan termasuk yang membabitkan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zuraida Kamaruddin dan bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy.

Pada 23 Jun, Mahkamah Tinggi memerintahkan Zuraida membayar RM10 juta kepada PKR kerana melanggar bon yang mengikat beliau dengan parti itu. Zuraida kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan tu dan Mahkamah Rayuan menetapkan 1 Julai tahun depan sebagai pendengaran.

Pada 2 Nov, Ramasamy telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi RM1.52 juta kerana memfitnah penceramah kontroversi Dr Zakir Naik dalam tempoh 30 hari daripada keputusan itu.

Bercakap kepada pemberita, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mengesahkan perkara itu berkata wang tersebut telah dipindahkan ke akaun peguam cara pada 17 Nov susulan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 23 Nov, satu lagi keputusan bersejarah telah dibuat oleh Mahkamah Rayuan yang menyaksikan rayuan empat organisasi yang memohon pengisytiharan bahawa kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan Bahasa Cina dan Tamil di sekolah terbabit adalah tidak berperlembagaan.

Dalam keputusan sebulat suara, mahkamah memutuskan bahawa sekolah jenis kebangsaan atau vernakular bukan pihak berkuasa awam dan oleh itu, penggunaan Bahasa Cina dan Tamil sebagai medium arahan bagi pembelajaran di sekolah terbabit adalah tidak dilarang.

Pada 16 Okt, Mahkamah Persekutuan memerintahkan Najib dan anak lelakinya Datuk Mohd Nazifuddin supaya membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah masing-masing RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN selepas menolak rayuan mereka berhubung penghakiman terus yang dimasukkan terhadap mereka.

Tahun ini turut menyaksikan Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun telah mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan bahawa pindaan undang-undang pencen adalah batal dan tidak sah.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Kerajaan Malaysia dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Dalam penghakimannya, mahkamah memutuskan bahawa Seksyen 3 dan Seksyen 7 Akta Pelarasan Pencen 2013, yang membenarkan kenaikan dua peratus setiap tahun, adalah kurang menguntungkan pesara dan oleh itu, melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan (yang memperuntuk perlindungan hak-hak pencen).

Tahun 2023 turut menyaksikan pilihan raya kecil diadakan bagi Parlimen Kemaman pada 2 Dis selepas PAS tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang membenarkan petisyen Barisan Nasional (BN) terhadap Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid (PAS) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam satu lagi kes, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan calon BN Jasmira Othman untuk membatalkan kemenangan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang di kerusi Parlimen itu pada PRU15 manakala di Melaka, Mahkamah Pilihan Raya mengekalkan kemenangan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah.

Tahun ini, mahkamah turut menyaksikan figura politik terkenal didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 termasuk Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan semasa ceramah politik.

ADUN Kijal Senator Datuk Razali Idris turut didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan pada pelancaran jentera pilihan raya kecil bagi Parlimen Kemaman.

Beberapa figura politik parti pembangkang diheret ke mahkamah atas pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) membabitkan projek Jana Wibawa iaitu Muhyiddin, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad serta bekas Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Sumber: BERNAMA

The post 2023 Saksikan Pembebasan Ramai Figura Politik, Tokoh Terkemuka Daripada Kes Mahkamah appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*