Acara Payung Terjun Jadi Tarikan Sambutan Hari Kebangsaan 2023

payung terjun sambutan kebangsaan

Acara Payung Terjun Jadi Tarikan Sambutan Hari Kebangsaan 2023

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) — Acara payung terjun yang menghiasi ruang udara Putrajaya menjadi antara daya tarikan bakal memukau hadirin pada sambutan Hari Kebangsaan 2023.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata aksi payung terjun itu akan dipersembahkan oleh anggota Komando VAT69 Polis Diraja Malaysia.

“Istimewanya sambutan pada kali ini selain persembahan udara, kita juga ada persembahan payung terjun yang akan dijayakan anggota Komando VAT69.

“Tahun ini juga kita minta Kementerian Perpaduan Negara untuk usahakan satu slot khas yang menonjolkan aspek perpaduan dalam kalangan rakyat bagi menjunjung titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang menegaskan bahawa kita perlu pupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat… saya harap (acara) ini akan menonjolkan sedikit kelainan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Malaysia Hari Ini terbitan TV3 hari ini.

Fahmi berkata segala persiapan bagi sambutan Hari Kebangsaan 2023 bertema ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya setakat ini berjalan lancar.

“Sabtu ini saya akan lawat tapak untuk lihat semua persiapan, insya-Allah semua berjalan lancar,” katanya.

BACA JUGA: Kereta Kebal Dah Siap Berbaris, Abang Askar “Share” Persiapan Sambut Merdeka

Beliau menasihatkan orang ramai supaya datang awal bagi mengelakkan kesesakan sama ada menaiki kenderaan sendiri atau menggunakan pengangkutan awam kerana bas perantara dari stesen kereta api atau rel serta tempat lain disediakan.

Maklumat lanjut mengenai pengangkutan awam ke Dataran Putrajaya pada hari berkenaan boleh diperoleh menerusi laman web merdeka360.my.

“Saya harap orang ramai datang pada 31 Ogos ini dan kalau boleh datang awal selepas Subuh… kalau nak solat Subuh dahulu pun kita ada masjid di Putrajaya dan kemudian mereka boleh segera datang ke Dataran Putrajaya.

“Insya-Allah kita sudah sediakan ruang secukupnya yang kita jangka mungkin boleh capai hampir 100,000 pengunjung dan ada juga juadah yang disediakan di kawasan sekitar yang kita buat ala-ala karnival.

“Jadi kita sama-sama saksikan acara perbarisan sempena Hari Kebangsaan yang cukup gilang-gemilang pada hari tersebut… kalau tidak dapat hadir, tonton sahaja di televisyen,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Acara Payung Terjun Jadi Tarikan Sambutan Hari Kebangsaan 2023 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*