Beri “Rating” Rendah Kepada Penjual, Dr Zulkifli Jelaskan Hukumnya

Beri “Rating” Rendah Kepada Penjual, Dr Zulkifli Jelaskan Hukumnya

Seperti yang diketahui, kebanyakan perniagaan dan syarikat mula beralih daripada kaedah tradisional kepada moden menerusi penawaran perkhidmatan seperti penghantaran.

Perkhidmatan ini banyak diaplikasikan dalam perniagaan dalam talian dan sektor e-Hailing seperti penghantar makanan. Bukan sahaja ekonomi syarikat semakin berkembang pesat, malah ia juga menawarkan peluang pekerjaan kepada orang ramai.

Pun begitu dalam sektor ini juga diperkenalkan sistem rating yang membolehkan pengguna memberikan penilaian baik atau buruk terhadap barangan atau perkhidmatan yang diterima daripada peniaga.

Persoalannya, adakah pemberian rating yang rendah boleh menjejaskan atau mengaibkan peniaga tersebut?

Sehubungan itu, bagi mengetahui topik menarik ini, mari kita ikuti kupasan yang komprehensif daripada Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli dalam laman sesawangnya, Maktabah al-Bakri. Semoga bermanfaat.

Adakah Mengaibkan Penjual Jika Beri Rating Rendah? 

rating rendah penjual
Gambar: Brendan Smialowski/AFP

Soalan:

Apakah hukum jika memberi ‘bad rating‘ kepada penjual yang menjual barang rosak kepada pembeli? Adakah pembeli tersebut dikira mengaibkan penjual atau sebaliknya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

Surah al-Baqarah (275)

Imam al-Tabari dalam tafsirnya menyatakan bahawa Allah SWT membenarkan keuntungan yang diperoleh melalui perniagaan dan jual beli.

 وَأَحَلَّ اللَّهُ الْأَرْبَاحَ فِي التِّجَارَةِ وَالشِّرَاءِ وَالْبَيْعِ

Maksudnya: “Dan Allah SWT menghalalkan keuntungan yang diperoleh melalui perniagaan dan jual beli.” (Lihat Tafsir al-Tabari 13/6)

BACA: Apa Hukum Terpijak Bekas Najis Yang Tidak Kelihatan

Pada hari ini, penjualan secara online telah menjadi salah satu sumber rezeki khususnya bagi mereka yang baru menceburi bidang perniagaan. Ekosistem jual beli di platform e-commerce sebegini amat bergantung dengan penilaian (rating), jumlah barangan terjual (sold item) dan komen (review) pelanggan. Maka, penilaian (rating) yang rendah akan menyebabkan kehilangan pelanggan dan jualan merosot.

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan jika sekiranya penjual menjual barangan yang rosak, maka wajar bagi saudari memberi “bad rating” kepada penjual tersebut. Hal ini bagi mengelakkan pembeli yang lain terjerat dengan penipuan yang dilakukan

Rasulullah SAW telah menegaskan:

وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang menipu kami maka bukanlah dia daripada kalangan kami.”

Riwayat Muslim (101)

Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menyebut bahawa hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa haramnya perbuatan menipu dan perkara tersebut telah disepakati. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/231)

Dalam hal ini juga, ia tidaklah dianggap mengaibkan. Bahkan, jika kita lihat pada hari ini juga banyak aplikasi seperti Shopee, Lazada, Shein dan seumpamanya yang telah memberi hak kepada pengguna untuk menilai sendiri penjual-penjual berkenaan. Akan tetapi, jika sekiranya pembeli sengaja memberi rating yang rendah kepada penjual, walhal beliau telah menjual barang yang dalam keadaan baik, maka pembeli tersebut dikira berdosa kerana menimbulkan syak wasangka kepada orang lain.

BACA JUGA: Apa Hukum Buat “Content” Paranormal? Ini Jawapan Dr Zulkifli

Semoga Allah memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin. Marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Sumber: Maktabah al-Bakri

The post Beri “Rating” Rendah Kepada Penjual, Dr Zulkifli Jelaskan Hukumnya appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*