Amaran Banjir Di New Delhi: Sekolah Ditutup, Air Minuman Mungkin Dicatu

Amaran Banjir Di New Delhi: Sekolah Ditutup, Air Minuman Mungkin Dicatu

NEW DELHI, 13 Julai (Bernama) — India mengarahkan penutupan sekolah dan beribu-ribu penduduk  yang tinggal berhampiran tebing Sungai Yamuna berpindah ke tempat lebih selamat di tengah-tengah amaran banjir di ibu negara India, New Delhi.

Bandar dihuni 20 juta penduduk itu juga mungkin berdepan kekurangan air minuman berikutan penutupan beberapa loji rawatan selepas bacaan paras air tertinggi dicatatkan di Sungai Yamuna.

Beberapa kawasan berhampiran sungai itu dinaiki air pada Khamis.

Pentadbiran negeri New Delhi mengarahkan penutupan pejabat kerajaan yang tidak penting, sekolah dan kolej sehingga Ahad.

Pihak berkuasa juga melarang kemasukan kenderaan berat ke New Delhi kecuali yang membawa barangan keperluan seperti makanan dan bahan api.

“Telah diputuskan untuk menutup semua sekolah, kolej dan universiti sehingga Ahad. Semua pejabat kerajaan kecuali yang menyediakan perkhidmatan penting akan (membenarkan kakitangan) bekerja dari rumah.

“Sektor swasta turut dinasihatkan untuk bekerja dari rumah sebanyak mungkin,” kata Ketua Menteri Delhi Arvind Kejriwal kepada media.

Tiga loji rawatan air yang terletak di Wazirabad, Chandrawal dan Okhla, yang menghasilkan 25 peratus air minuman di bandar itu ditutup.

“Kami mungkin perlu membuat catuan air, orang ramai mungkin menghadapi kekurangan air untuk sehari dua,” kata Kejriwal.

Kira-kira 20,000 penduduk ditempatkan di pusat perlindungan sementara selepas dipindahkan dari kawasan berhampiran Sungai Yamuna.

Paras air sungai naik secara mendadak minggu ini berikutan pelepasan sejumlah besar air dari benteng Hathnikund oleh negeri jiran Haryana.

Hujan lebat menyebabkan banjir dan tanah runtuh di seluruh negeri di utara India, termasuk di Himachal Pradesh, Punjab, Uttarakhand dan Uttar Pradesh.

Perjalanan rentas negeri terjejas akibat beberapa jambatan runtuh, tanah runtuh dan kerosakan pada lebuh raya.

Sumber: BERNAMA

BACA: “Tanah Akan Dikorek…” Lelaki Tunjuk Cara & Lokasi Buaya Buat Sarang

The post Amaran Banjir Di New Delhi: Sekolah Ditutup, Air Minuman Mungkin Dicatu appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*