Aneh, Tangan ‘Baru’ Bertukar Warna Seperti Semula Jadi

tangan baru bertukar warna

Aneh, Tangan ‘Baru’ Bertukar Warna Seperti Semula Jadi Kekal Misteri

Pernah terbayang tak, sekiranya pemindahan anggota badan dijalankan ke atas diri sendiri, lama-kelamaan akan bertukar menjadi seperti asal, ibarat tiada pembedahan dilakukan?

Sebagai contoh, kaki telah dipotong kerana kemalangan (amputasi) dan kemudiannya disambung dengan anggota badan penderma, namun setelah bertahun-tahun, kaki itu mirip seperti kaki sendiri.

Pelik tapi benar, kes sebegitu pernah berlaku hingga doktor yang melakukan pembedahan itu juga terkejut dengan perubahan anggota pinjaman yang menunjukkan seakan-akan tangan asal.

Tangan bertukar warna seperti ‘semula jadi’

Pada 2016, seorang remaja di India telah kehilangan kedua-dua tangannya kerana terlibat dalam satu kemalangan membabitkan bas hingga memerlukan anggota tersebut dipotong di bawah siku.

Memetik Live Science, gadis bernama Shreya Siddanagowda itu menjalani pembedahan pemindahan tangan selama 13 jam yang memerlukan kemahiran sepasukan pakar bedah dan 16 pakar bius.

Kredit: India Tv News

Difahamkan penderma tangan tersebut merupakan seorang lelaki berkulit gelap berusia 21 tahun yang maut dalam kemalangan basikal. 

Setelah pembedahan, gadis berusia 18 tahun tersebut pada ketika itu menjalani sesi terapi fizikal untuk meningkatkan kawalan motor ke atas lengan dan tangannya.

Terapi itu bertujuan untuk membolehkan tangan baharu berkenaan secara beransur-ansur menjadi lebih kurus daripada semasa pemindahan.

Namun, terdapat satu perubahan yang tidak dijangka berlaku iaitu kulit anggota badan baharu yang sebelum ini gelap bertukar kepada cerah menjadi sepadan dengan warna kulit Siddanagowda.

Ibu bapa gadis itu juga perasan bahawa tangan baharu tersebut telah kehilangan sedikit beratnya dan mula kelihatan semula jadi pada badannya. 

“Saya tidak tahu bagaimana transformasi itu berlaku tetapi ia terasa seperti tangan saya sendiri. 

“Warna kulit sangat gelap selepas pemindahan itu bukannya menjadi kebimbangan saya, tetapi kini ia telah sepadan dengan warna kulit saya,” katanya memetik India Tv News.

Difahamkan, pemindahan dua tangan Siddanagowda adalah pembedahan pertama yang dilakukan di Asia, serta pemindahan anggota antara jantina pertama di benua tersebut.

Perubahan tangan jadi kurus dan cerah

Kredit: India Tv News

Ahli fisioterapi Ketaki Doke menjelaskan tangannya menjadi lebih feminin kerana otot telah menyesuaikan diri dengan tuan badan yang baharu.

“Saraf mula menghantar isyarat, ia dipanggil pemuliharaan sementara dan otot berfungsi mengikut keperluan badan.

“Otot di tangannya mungkin mula menyesuaikan diri dengan tubuh wanita,” kata Doke kepada The Indian Express.

Namun, menurut Ketua Jabatan Pembedahan Kepala dan Leher, Dr K Subramania Iyer, tiada cara yang memastikan sama ada perubahan warna boleh berlaku kerana pengaruh hormon wanita.

Kredit: Arul Horizon via The Indian Express

“Hormon wanita tidak mempunyai peranan dalam kawalan pigmentasi kulit. Ia dikawal oleh melanin yang seterusnya dikawal oleh faktor genetik serta Melanocyte Stimulating Hormone (MSH) yang dirembeskan oleh otak.

“Mungkin perubahan pigmentasi disebabkan oleh tahap MSH yang berubah,” kata Iyer memetik Hindustan Times.

Kurang daripada 100 orang telah menerima pemindahan tangan di seluruh dunia dan difahamkan kes Siddanagowda dipantau dengan penuh perhatian.

Pakar juga berharap dapat menerbitkan butiran pemindahan dan pemulihan mengenai kes tersebut namun lebih banyak bukti akan diperlukan untuk memahami apa yang mendorong kepada perubahan itu.

Kes yang sama berlaku namun tiada penjelasan saintifik

Menerusi laman web Mayo Clinic, agak sukar untuk meramalkan perubahan yang dirasai oleh individu semasa pemindahan berlaku.

Namun sekiranya mengikuti pelan penjagaan selepas pembedahan dengan teliti maka ia boleh meningkatkan peluang untuk mendapatkan fungsi sebanyak mungkin.

Walaupun tiada jaminan mengenai berapa banyak fungsi tangan yang akan diperolehi, penerima pemindahan tangan mampu melakukan tugas tugas kecil seperti mengambil objek yang kecil, menggenggam tangan dan sebagainya.

Sementara itu, kes yang serupa pernah berlaku kepada seorang kapten tentera Afghanistan dari Kandahar yang menjalani pembedahan pemindahan di Institut Sains Perubatan Amrita pada 2015.

Tangan Abdul Rahim bertukar seperti semula jadi selepas pemindahan berlaku namun masih tiada penjelasan saintifik untuk perkara itu, jelas pakar di hospital.

Sumber: Live Science, India Tv News, Hindustan Times, Mayo Clinic

BACA: Wanita Alami Detik Cemas, Tangan Terpaksa Dibedah Gara-Gara Digigit Labah-Labah

The post Aneh, Tangan ‘Baru’ Bertukar Warna Seperti Semula Jadi appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*