Angkut 2 tan daun ketum guna lori simen

KOTA BHARU – Taktik dua lelaki yang menggunakan sebuah lori simen untuk menyeludup dua tan daun ketum terbongkar apabila kenderaan yang dinaiki mereka ditahan semasa berada di tepi jalan di Batu 6, Batu Melintang dekat Jeli semalam.

Pemandu dan kelindan lori yang masing-masing berusia 28 tahun dicekup selepas polis melihat kenderaan itu berada dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 4 pagi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, anggota polis membuat keputusan untuk memeriksa kenderaan itu selepas mendapati lori simen kebiasaannya jarang bergerak pada waktu malam.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam lori terbabit pada awalnya hanya menemui sebotol air ketum yang berada di bahagian tempat letak kaki.

“Hasil pemeriksaan lanjut di bahagian tangki lori itu telah membawa kepada penemuan sebanyak 200 bungkusan plastik hitam yang mengandungi 2,000 kilogram daum ketum.

“Siasatan mendapati, kesemua daun-daun ketum itu dianggarkan bernilai RM20,000 dan ia dipercayai dibawa dari negeri di utara untuk dijual bagi pasaran di Kelantan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkait kes narkotik mendapati mereka positif dadah jenis benzo iaitu sejenis ubat penenang.

Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan berhubung penglibatan kedua-dua suspek dan syarikat tempat mereka bekerja dalam kegiatan tersebut:

“Sekiranya ada kaitan, kita akan menyita lori simen yang digunakan oleh kedua-dua suspek untuk menyeludup daun-daun ketum itu,” katanya.

Tambah Muhamad Zaki, kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – KOSMO! ONLINE

The post Angkut 2 tan daun ketum guna lori simen appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*