Apa Had Sakit Yang Diharuskan Berbuka Puasa? Ini Jawapan Mufti Wilayah

had sakit berbuka puasa

Apa Had Sakit Yang Diharuskan Berbuka Puasa? Ini Jawapan Mufti Wilayah

Seperti yang diketahui, berpuasa di bulan Ramadan merupakan satu tuntuan bagi mereka yang bergelar umat Islam. Amalan ini bukan sahaja menahan lapar sepanjang hari, namun ia juga dapat mengelakkan diri daripada penyakit berbahaya.

Bahkan perkara ini turut disokong oleh saintis dari barat.

Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, Islam mengharuskan umatnya untuk berbuka puasa sekiranya ia boleh memberikan kesan buruk terhadap diri.

Jadi, apakah had tertentu yang perlu diketahui seseorang untuk berbuka puasa?

Bagi mengetahui perkara ini dengan lebih lanjut. Mari kita ikuti perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di bawah.

Had Sakit Yang Diharuskan Berbuka Puasa

Hukum Sakit Berbuka
Gambar: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Soalan:

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan satu soalan. Apakah hukum berpuasa bagi orang yang sakit dan apakah had-had sakit bagi mengharuskan seseorang pesakit berbuka puasa? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Jawapan Ringkas

Had sakit yang dibenarkan berbuka puasa adalah apabila pesakit menghidapi penyakit yang akan bertambah kesakitannya dan menyukarkan dirinya jika berpuasa. Sekiranya dengan berpuasa boleh memberi mudarat terhadap pesakit atau  membawa kematian, maka berbuka puasa adalah wajib. Walau bagaimanapun, pendapat doktor wajib dijadikan sebagai pemberat sama ada perlu berbuka puasa atau tidak. Jika sakit tersebut hanyalah sakit yang ringan dan tidak memberi kesan yang besar terhadap pesakit sekiranya berpuasa, maka dia diwajibkan berpuasa dan tidak harus baginya untuk berbuka.

BACA JUGA: Perlu Ambil Tahu, Pejabat Mufti WP Perjelaskan Hukum Memakai Kuku Palsu

Huraian

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

مَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang berbuka) itu pada hari-hari lain”

Surah al-Baqarah (184)

Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang sakit dan bermusafir adalah diharuskan untuk berbuka puasa dan wajib menggantikan puasanya[1].

Tulisan ini akan menjelaskan hukum yang berlainan berdasarkan tiga kategori sakit yang berbeza, iaitu:

  1. Sakit yang menjadi semakin teruk sekiranya berpuasa
  2. Sakit yang boleh memudaratkan nyawa
  3. Sakit yang ringan

Sakit yang menjadi semakin teruk sekiranya berpuasa

Sekiranya seseorang pesakit menghidapi penyakit yang akan bertambah kesakitannya jika berpuasa dan puasa tersebut adalah sukar baginya namun tidak membahayakan nyawa, maka dia diharuskan berbuka puasa. Ini merupakan pendapat jumhur ulama yang terdiri daripada mazhab al-Hanafi[2], al-Maliki[3], al-Syafi’i dan al-Hanbali[4].

BACA JUGA: Hukum Sebut Kalimah ‘Allah’ Ketika Niat Wuduk Dalam Tandas

Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi:

وان لم يقدر على الصوم لمرض يخاف زيادته ويرجي البرء لم يجب عليه الصوم

Maksudnya: “Dan jika dia tidak mampu berpuasa kerana penyakit yang dikhuatiri bertambah dan diharapkan kesembuhannya, maka tidak wajib baginya berpuasa ”[5].

Namun begitu, kekhuatiran atas keadaan penyakit yang akan menjadi semakin teruk tersebut bukanlah dengan sekadar syak atau sangkaan semata-mata. Malah, pendapat dan pengesahan doktor wajib dijadikan sebagai pemberat sama ada perlu berpuasa atau tidak[6].

Sakit yang memudaratkan nyawa

Sekiranya sakit tersebut sangat berat sehingga ditakuti boleh membawa kepada kebinasaan dan memberi musibah seperti risiko kehilangan nyawa, organ-organ badan, atau fungsi organ, maka wajib baginya berbuka puasa menurut jumhur ulama daripada mazhab al-Hanafi[7], al-Maliki[8], al-Syafi’i[9], dan sebahagian ulama mazhab al-Hanbali[10].

Sakit yang ringan

Jika seseorang pesakit ditimpa penyakit yang tidak menjejaskan puasa dan tidak membahayakannya seperti selsema, sakit kepala ringan, sakit gigi, dan seumpamanya, maka diharamkan berbuka puasa menurut para ulama daripada empat mazhab[11].

Menurut Ibn Qudamah, sekiranya puasa orang yang sakit tidak memberi kesan terhadap kesakitan yang dialaminya, maka dia dihukumkan seperti orang yang sihat dan dia diwajibkan untuk berpuasa. Hal ini kerana terdapat kategori penyakit yang memudaratkan dan juga tidak memudaratkan. Justeru, penyakit yang mengharuskan berbuka puasa adalah penyakit yang memudaratkan [12].

Kesimpulan

Had sakit yang dibenarkan berbuka puasa adalah apabila pesakit menghidapi penyakit yang akan menjadi semakin teruk jika berpuasa. Sekiranya dengan berpuasa boleh memberi mudarat terhadap pesakit atau  membawa kematian, maka berbuka puasa baginya adalah wajib. Jika sakit tersebut hanyalah sakit yang ringan dan tidak memberi kesan yang besar terhadap pesakit sekiranya berpuasa, maka dia diwajibkan berpuasa dan tidak harus baginya untuk berbuka.

Wallahu’alam

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

The post Apa Had Sakit Yang Diharuskan Berbuka Puasa? Ini Jawapan Mufti Wilayah appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*