Axelsen pertahan gelaran Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki No.1 dunia dari Denmark, Viktor Axelsen melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pemain Eropah pertama mempertahankan gelaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia.

Juara dunia dua kali itu tidak berdepan masalah apabila hanya memerlukan masa 39 minit untuk menewaskan pemain meningkat naik dari Jepun, Kodai Naraoka dalam aksi straight set 21-6, 21-15 pada perlawanan akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Pemain berusia 29 tahun itu menegaskan, dia tidak memiliki sebarang rahsia mengenai kejayaan tersebut melainkan sentiasa bekerja keras dalam setiap sesi latihan pada setiap hari.

“Sejak dahulu lagi kejohanan ini sangat dekat dengan saya, oleh itu saya gembira apabila sekali lagi menjadi juara kejohanan Terbuka Malaysia, lebih-lebih lagi di arena yang menakjubkan ini.

“Tidak ada sebarang rahsia berhubung kejayaan saya, cuma saya melakukan yang terbaik setiap hari dan sentiasa tampilkan aksi konsisten. Saya berikan segala-galanya terhadap apa yang saya mahir,” kata Axelsen yang membawa pulang hadiah wang tunai AS$87,500 (RM379,312).

Sementara itu, aksi beregu lelaki menyaksikan gandingan No.1 dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto menewaskan wakil China, Liang Wei Keng-Wang Chang 21-18, 18-21, 21-13, sekali gus menebus kekecewaan muncul naib juara musim lalu.

Dalam acara perseorangan wanita, pemain No.1 dunia dari Jepun, Akane Yamaguchi merangkul gelaran Terbuka Malaysia pertama dalam karier selepas berhempas pulas menewaskan pemain Korea Selatan, An Se Young 12-21, 21-19, 21-11.

Gelaran beregu wanita pula menjadi milik juara dunia tiga kali dari China, Chen Qing Chen-Jia Yifan apabila mudah menjinakkan gandingan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee Yu Lim menerusi aksi straight set 21-16, 21-10.

Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong, juga dari China meneruskan penguasaan dalam beregu campuran pada Terbuka Malaysia apabila merangkul gelaran keempat berturut-turut selepas mengenepikan cabaran wakil Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 21-19, 21-11. – KOSMO! ONLINE

The post Axelsen pertahan gelaran Terbuka Malaysia appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*