BAM, Affin Group meterai kerjasama dua tahun

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menerima ‘hadiah’ tahun baharu sejurus memeterai perjanjian penajaan bersama Affin Group sebagai rakan bank rasmi untuk bersama-sama meningkatkan lagi mutu badminton negara.

Penajaan selama dua tahun sehingga 2024 akan menyaksikan BAM bakal mendapat bantuan dan sokongan penuh daripada entiti perbankan negara itu.

Lebih menarik Affin turut menjadi penaja bagi kejohanan pembangunan remaja yang akan dikenali sebagai Kejohanan Jelajah Elit AFFIN 100 plus.

Selain itu, kerjasama ini juga turut meningkat sudut kewangan memandangkan skuad utama negara akan mengharungi jadual padat menjelang kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan bermula pada 1 Mei depan.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, kerjasama ini membuktikan BAM mampu bergerak sendiri dan tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan dalam usaha untuk memacu sukan negara ke arah lebih tinggi.

“Kami telah membincangkan mengenai kerjasama ini sejak sekian lama, tetapi baru sekarang ia dapat direalisasikan ekoran negara dilanda wabak Covid-19 dan saya dengan sukacitanya mengumumkan kerjasama ini bersama pihak Affin.

“Bagi saya sokongan pihak syarikat korporat amat penting untuk meneruskan program pembangunan dan kejohanan remaja di dalam negara ini.

“Pastinya kami akan menumpukan sepenuh perhatian untuk tempoh dua tahun yang akan datang menuju ke Sukan Olimpik Paris 2024, dan dengan bantuan yang diberikan kepada kami, ia amat bermakna dalam usaha kami untuk memburu pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik,” jelas Norza ketika Majlis Pengumuman Penajaan BAM dan Affin Group di Menara Tun Razak, Kuala Lumpur semalam.

Sebagai rekod, ini kali kedua BAM menjalankan kerjasama dengan syarikat perbankan selepas sebelum ini badan induk badminton negara itu menjalankan kerjasama bersama Maybank sebagai penaja utama bagi tempoh enam tahun sejak 2011. -KOSMO! ONLINE

The post BAM, Affin Group meterai kerjasama dua tahun appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*