Bergson Tak Kecil Hati Beri Laluan Arif Aiman Ambil Penalti

Bergson Tak Kecil Hati Beri Laluan Arif Aiman Ambil Penalti

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) — Penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) Bergson Da Silva tidak berkecil hati selepas terpaksa mengalah dengan rakan sepasukannya Arif Aiman Mohd Hanapi, untuk mengambil sepakan penalti pada final Piala Malaysia 2023 menentang Terengganu FC, malam tadi.

Pemain import dari Brazil berusia 32 tahun itu berkata tindakannya yang ingin mengambil penalti kedua JDT pada masa kecederaan separuh masa kedua perlawanan, kerana mahu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

Bergson yang meledak gol pembukaan skuad Harimau Selatan menerusi penalti pada separuh masa pertama, berkata beliau hanya ingin mengambil tanggungjawab sepenuhnya termasuk kecaman daripada peminat, memandangkan Arif Aiman seorang pemain muda.

“Perlawanan ini sedikit sukar, saya sayangkan Arif, beliau masih muda, jika dia gagal sempurnakan pelanti itu dan pihak lawan kembali dengan serangan balas dan jaringkan gol, semua orang akan ‘marahkan’ beliau mungkin.

“Jadi saya cuba untuk ambil tanggungjawab itu pada saya, sebab saya terlatih, saya 32 tahun jadi ia suatu yang berbeza. Saya fikirkan dia dan pasukan, tetapi nasib baik beliau jaringkan… saya percayakan beliau dan Arif seorang pemain yang bagus,” katanya selepas perlawanan di Stadium Bukit Jalil, malam tadi.

BACA: Hilang Sejak Khamis, Adik Daniel Akmal Ditemui Selamat

Pada aksi final itu, penalti Bergson dan Ivan Mamut pada separuh masa pertama mengikat kedudukan 1-1, sebelum tandukan pemain gantian Muhamad Feroz Baharudin dan penalti Arif Aiman pada babak kedua mengesahkan kemenangan 3-1 JDT, sekali gus mencipta rekod treble dua musim berturut-turut.

Bagaimanapun, pada penghujung aksi, Bergson dan Arif Aiman mencuri tumpuan apabila dilihat ‘berebut’ untuk mengambil penalti kedua JDT, namun selepas beberapa kali cuba memujuk Arif Aiman, Bergson terpaksa akur memberikan laluan kepada pemain muda berusia 21 tahun itu.

Sementara itu, mengulas mengenai perlawanan malam tadi, Bergson memuji persembahan pasukan pada separuh masa kedua, yang berjaya meruntuhkan benteng pertahanan kental Terengganu yang disifatkannya menggunakan taktikal park the bus dan hanya menunggu JDT melakukan kesilapan.

Bergson berkata beliau lebih gemar ‘tewas berjuang daripada kalah tidak melawan’.

“Jika saya boleh pilih untuk kalah, saya memilih untuk menyerang, melawan dan tidak hanya menunggu untuk lawan melakukan kesilapan,” katanya.

Sebagai rekod, ini merupakan kejuaraan Piala Malaysia keempat JDT selepas 2017, 2019 dan 2022 sejak penubuhan kelab berkenaan pada 2013.

Sumber: BERNAMA

The post Bergson Tak Kecil Hati Beri Laluan Arif Aiman Ambil Penalti appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*