Bukan Senang Nak Jinakkan Harimau Malaya – Pengendali Thailand

Jinakkan Harimau Malaya

Bukan Senang Nak Jinakkan Harimau Malaya – Pengendali Thailand

Pengendali Thailand, Alexandre Polking berkata bahawa untuk mengalahkan skuad Harimau Malaya bukanlah suatu perkara yang mudah, lapor Sinar Harian.

Ucapan itu dibuat Polking selepas mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Malaysia dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2022 di Stadium Thammasat pada semalam.

Menurutnya, taktikal Kim Pan-gon selaku jurulatih Harimau Malaya yang meletakkan ramai pemain di bahagian tengah telah memberikan kesukaran buat Gajah Perang.

“Aksi hari ini lebih sukar daripada perlawanan (separuh akhir) pertama (di Stadium Nasional Bukit Jalil). Ini kerana pada perlawanan pertama, kami dapat mengawal semuanya.

“Malaysia mempunyai rancangan untuk meletakkan ramai pemain di bahagian tengah, jadi ia tidak semudah pada perlawanan pertama.

Baca: Kebanyakan ‘Owner’ Terlepas Pandang, 5 Perkara Penting Kena Teliti Sebelum Perbaharui Insurans Motosikal

“Tetapi kami melakukan kerja yang baik dan menjaringkan gol. Saya harus memberikan pujian kepada pemain atas usaha mereka hari ini,” katanya pada sidang akhbar malam tadi. 

Kemenangan agregat 3-1 ke atas Malaysia itu bakal menyaksikan pertemuan antara pasukan Thailand dan Vietnam dalam aksi final yang turut diadakan secara timbal balik antara tempat lawan dan di tempat sendiri.

Thailand yang juga juara bertahan bagi Piala AFF bakal berkunjung ke Stadium My Dinh, Hanoi pada Jumaat ini dan seterusnya menantikan kunjungan skuad Naga Emas ke Bangkok pada tiga hari kemudiannya.

Bercakap berkenaan peluang pada aksi final nanti, Polking mengakui bahawa Vietnam mempunyai kelebihan terutamanya mendapat peluang untuk beraksi di laman sendiri terlebih dahulu.

“Dua perlawanan di tempat lawan sebelum ini, saya harap ia menjadi pengajaran buat kami.

“Di Bukit Jalil contohnya, kami telah menunjukkan kami boleh bermain baik, cuma tidak berpeluang menjaringkan gol.

“Saya berharap perlawanan akhir pertama di Hanoi nanti, kami tidak melakukan kesilapan dan cuba mencari gol sebelum bermain di tempat sendiri,” katanya lagi. 

Sumber: Sinar Harian

The post Bukan Senang Nak Jinakkan Harimau Malaya – Pengendali Thailand appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*