Rompakan lanun terendah, meningkat di Selat Melaka

BANGKOK – Laporan baharu menyatakan bahawa aktiviti lanun di seluruh dunia pada tahun lalu berada pada tahap terendah sejak 2008 dan mungkin sejak 1992 lagi, lapor portal berita Thaiger semalam.

Rompakan yang dilakukan lanun di laut berada pada tahap paling rendah sejak rekod sedemikian pertama kali diwujudkan 14 tahun lalu, demikian menurut Pusat Kesedaran dan Kerjasama Maklumat Maritim (MICA).

Organisasi itu yang dikendalikan oleh Tentera Laut Perancis dan rakan kongsinya melaporkan bahawa terdapat hanya 300 laporan aktiviti lanun di perairan terbuka di seluruh dunia pada tahun lepas.

Ini adalah penurunan ketara daripada jumlah insiden yang dilaporkan pada 2019 dan mengesahkan laporan awal Biro Maritim Antarabangsa (IMB) pada Oktober tahun lalu bahawa serangan lanun tidak pernah berada pada tahap rendah seperti itu sejak 1992. 

“Ia tidak pernah menjadi terendah. (Tetapi) anda tidak pernah tahu apa yang akan datang esok hari dari segi rompakan (di laut). Kami menasihatkan supaya sentiasa berhati-hati,” kata Komander MICA, Eric Jaslin kepada AFP.

Sebuah kawasan di mana penurunan dalam rompakan laut itu amat ketara ialah di Teluk Guinea, di luar pantai Afrika Barat yang dari segi sejarahnya merupakan zon penuh bahaya. 

Pada 2022, hanya tiga kapal diserang di Teluk Guinea, berbanding 26 kapal pada 2019, demikian menurut MICA termasuk jumlah penculikan di kawasan itu yang turun daripada 146 pada 2019 kepada hanya dua pada tahun lepas.

Bagaimanapun, terdapat peningkatan dalam bilangan rompakan di perairan wilayah, khususnya di Selat Melaka dan Singapura. – Agensi

The post Rompakan lanun terendah, meningkat di Selat Melaka appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*