Cadangan Intervensi Baharu KPKM Berkaitan Isu Beras Dalam Negara

Isu Beras

Cadangan Intervensi Baharu KPKM Berkaitan Isu Beras Dalam Negara

KUALA LUMPUR, 2 OKTOBER 2023 Kerajaan amat peka serta prihatin kepada  keluh kesah rakyat ekoran kenaikan harga beras putih import (BPI) di  pasaran ekoran kenaikan harga beras global. Fenomena kenaikan harga  beras ini bukan hanya berlaku di Malaysia malah turut melibatkan negara  serantau.  

Sebanyak 19 negara telah membataskan eksport ke negara luar untuk memberi keutamaan kepada rakyat sendiri. Sebagai contoh negara India telah mengenakan sekatan eksport beras mulai Julai 2023 dan telah memberi  kesan kepada kenaikan harga beras putih global. 

Pelbagai langkah intervensi telah dilaksanakan oleh Kementerian bukan  sahaja melibatkan elemen penguatkuasaan semata-mata. Namun, pelbagai  sesi libat urus telah dilaksanakan untuk mendapatkan input daripada semua  pihak berkepentingan dalam industri padi dan beras. Ini bagi meredakan  kebimbangan rakyat berhubung kenaikan harga BPI dan peningkatan  permintaan terhadap beras putih tempatan (BPT) di pasaran. Pengedaran  BPT melalui Program Khas Beras Putih Tempatan yang saya lancarkan  pada 20 September 2023 telah menampakkan hasil dengan jumlah agihan  sebanyak lebih 600,000 kampit BPT 10 kg di seluruh Semenanjung. 

Pada hari ini, seusai pertemuan saya bersama YAB Perdana Menteri pada  pagi ini, YAB Perdana Menteri telah bersetuju untuk melaksanakan 4 langkah  intervensi drastik seperti berikut:

1) Pemerkasaan edaran BPT melalui FAMA akan diperluaskan dengan  meningkatkan pengedaran di kawasan pinggir bandar dan luar  bandar; 

2) Dalam konteks Sabah dan Sarawak, Kerajaan memutuskan agar  harga BPI diserap oleh Kerajaan mulai 5 Oktober 2023 bagi  membolehkan BPI diperolehi dengan harga runcit RM31 bagi setiap  10kg. Ini memandangkan pengeluaran BPT di Sabah dan Sarawak  adalah terhad; 

3) Terma kontrak perolehan pembekalan beras di bawah agensi Kerajaan sebelum ini termaktub menggunakan BPT. Sehubungan  itu, Kerajaan memutuskan supaya perolehan baharu beras di bawah  kontrak Kerajaan menggunakan BPI. Semua pembekal akan  menggunakan BPI dengan mendapatkan bekalan pada harga  borong RM3,200 (harga pintu gudang) dalam kampit 50kg tertakluk  kepada syarat dan peraturan yang telah ditetapkan. Ini bagi  memberi keutamaan pembekalan BPT kepada rakyat; 

4) Melancarkan Task Force Khas Bersepadu Penguatkuasaan Operasi  Beras Putih (OP BPT) yang melibatkan Kawalselia Padi dan Beras  (KPB), Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan  Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan  Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan  Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS). OP BPT ini akan  memberi fokus kepada pemeriksaan dan penguatkuasaan di  kesemua peringkat rantaian pembekalan BPT.

The post Cadangan Intervensi Baharu KPKM Berkaitan Isu Beras Dalam Negara appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*