Dakwaan Ikan Tilapia Tak Selamat Dimakan Adalah Palsu – DOF

Ikan Tilapia Tak Selamat

Dakwaan Ikan Tilapia Tak Selamat Dimakan Adalah Palsu – DOF

PUTRAJAYA — Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa dakwaan berhubung ikan tilapia yang tidak selamat dimakan dan memberi ancaman kepada pengguna adalah palsu.

Ketua Pengarah Perikanan, Dato’ Adnan Hussain berkata ia susulan pihaknya menerima satu hebahan palsu melalui media sosial Whatsapp berbentuk poster yang mendakwa mengenai ancaman jika makan ikan terbabit.

Dakwaan Ikan Tilapia Tiada Tulang Dan Kulit

Menerusi poster itu, ikan tilapia juga didakwa tidak mempunyai tulang dan tiada kulit.

Walau bagaimanapun, dakwaan tidak berasas itu dinafikan oleh Adnan. Hal ini kerana terdapat negara seperti Brazil menggunakan kulit ikan tilapia bagi membuat dompet, tali, beg duit, kasut dan lain-lain.

“Hebahan palsu terhadap ikan ini sering ditularkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab bagi menakut-nakutkan pengguna di negara ini,” katanya.

Dakwaan Ikan Tilapia menyebabkan Kanser

Selain itu, ikan air tawar itu turut didakwa berisiko membawa kepada penyakit seperti kanser.

“Melalui poster yang ditularkan itu, ikan tilapia didakwa tidak selamat untuk dimakan dan menyebabkan penyakit seperti kanser. Meskipun, ikan tilapia merupakan ikan yang diternak dengan pemberian makanan rumusan ikan menggunakan sumber protein daripada ikan dan tumbuhan.

Genetically modified (GM) soya dan jagung telah digunakan di dalam makanan rumusan ikan bagi mengurangkan penggunaan tepung ikan dan telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa Norway dan European Union,” jelas Adnan.

BACA JUGA: Pok Su Mie, OKU Tanpa Tangan Gigih Usahakan Ternakan Ikan Keli Untuk Tanggung Isteri & Tiga Anak

Namun, tiada laporan secara spesifik berkaitan kesan negatif kepada manusia yang memakan ikan tilapia yang telah diberi makan GM soya atau jagung oleh Food and Agriculture Organisation (FAO), CODEX dan United States Food and Drug Administration (USFDA).

“Tumbuhan ini telah digunakan secara meluas dalam makanan rumusan salmon, tilapia dan kap.

“CODEX, WHO dan FDA sebagai organisasi yang bertanggungjawab pasti menyedari kesan dan akibat sekiranya ikan tilapia tidak selamat kepada pengguna.” katanya lagi.

Dakwaan Ikan Tilapia Mengandungi Dioxin 

Dalam pada itu, poster berkenaan turut mendakwa bahawa ikan air tawar itu mengandungi dioxin.

“Dioxin sejenis bahan sampingan yang terbentuk melalui hasil proses kimia juga sebenarnya. Ia boleh terhasil daripada kejadian semula jadi seperti letusan gunung berapi dan kebakaran hutan,” maklum Adnan Hussain.

Menurutnya, ikan yang diternak dalam air yang tercemar dengan bahan ini akan menyebabkan ia terkumpul di dalam isi ikan. Malah, ia tidak mengira sama ada ikan tilapia atau jenis ikan yang lain.

“Oleh itu pemilihan kawasan ternakan yang bebas daripada bahan kimia ini. Ia adalah penting untuk mengelakkan ia daripada tercemar daripada unsur bahaya.

“Jabatan Perikanan juga telah memantau 200 ladang-ladang akuakultur yang mempunyai sijil myGAP dan kawalan penyakit. Ia bagi menjamin kualiti pengeluaran sumber akuakultur Negara,” katanya.

Oleh itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan hebahan palsu tersebut.

Tambahan lagi, ia juga dilihat boleh menjejaskan industri akuakultur negara.

Pada tahun 2021, jumlah pengeluaran ikan tilapia adalah sebanyak 37,609 tan metrik. Dari jumlah tersebut, ia telah menyumbang RM380 juta kepada pendapatan negara.

Menurut Perangkaan Tahunan Perikanan Tahun 2021, ikan tilapia merupakan antara penyumbang sekuriti makanan yang tertinggi selain ikan keli dan ikan patin.

Sumber: Jabatan Perikanan Negara (DOF)

The post Dakwaan Ikan Tilapia Tak Selamat Dimakan Adalah Palsu – DOF appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*