Didakwa Dengan 46 Pertuduhan Rasuah, Bekas OCPD Mengaku Tidak Bersalah

Didakwa Dengan 46 Pertuduhan Rasuah, Bekas OCPD Mengaku Tidak Bersalah

KUANTAN  — Bekas Ketua Polis Daerah (OCPD) didakwa atas 46 pertuduhan menerima rasuah bernilai keseluruhan RM70,600 tanpa balasan antara Mac 2019 hingga Januari 2023.

Memetik Sinar Harian, pertuduhan itu dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuantan pada hari ini.

Tertuduh, 53, pada awalnya mengakui tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan termasuk 46 pertuduhan pilihan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Difahamkan, tertuduh didakwa melakukan transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank yang diketahuinya mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh sebagai pegawai kanan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Bagi melindungi empat pihak berbeza daripada dikenakan apa-apa tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas pelbagai kesalahan, tertuduh didakwa menerima wang suapan antara RM100 sehingga RM5,600.

Bagi setiap pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan pilihan pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Denda bagi kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Feisal Mohd Azmi, Rasyidah Murni Azmi dan Rifah Izzati Abdul Mutalif.

BACA JUGA:  SPRM Lanjut Kes Pecah Amanah, Rasuah Babit Yayasan Akalbudi

Tambah Ahmad Feisal, beliau memohon agar mahkamah membenarkan syarat tambahan terhadap tertuduh iaitu, melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan meminta tertuduh atau ejen tertuduh tidak mengacau ganggu saksi pendakwaan.

Tertuduh juga dibenarkan diikat jamin sebanyak RM40,000 bagi kesemua pertuduhan yang dilakukan.

Walau bagaimanapun, berikutan mengambil kira statusnya yang berkhidmat selama 30 tahun dalam PDRM, tertuduh yang diwakili peguam, Datuk Bob S Arumugam memohon agar jaminan dikurangkan kepada RM20,000.

Tambahnya dalam hujah, tertuduh tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan yang boleh dikenakan tatatertib sepanjang berkhidmat.

“Tertuduh merupakan seorang pegawai kanan polis dengan jawatan akhirnya adalah sebagai OCPD sebelum ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan.

“Selain itu, tertuduh juga telah berkahwin dan isteri tertuduh kini berada dalam keadaan tidak sihat kerana menjalani pembedahan. Tertuduh telah berjanji untuk akur dengan segala arahan mahkamah selain tidak ada sebarang kemungkinan untuk tertuduh melarikan diri,” ujarnya.

Najib Zakaria yang merupakan seorang lagi peguam mewakili tertuduh juga meminta  jaminan paling minimum dikenakan ke atas tertuduh. Hal ini berikutan, tertuduh berpotensi digantung tugasan serta-merta dan akan berhadapan dengan kesukaran.

Oleh itu, Mahkamah telah memutuskan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM25,000 bercagar dengan seorang penjamin.

Tambahan lagi, bermula September, tertuduh diarahkan untuk menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, diminta untuk melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sehingga perbicaraan kes selesai.

Di samping itu, tertuduh turut diarahkan agar tidak mengacau ganggu saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai.

Sebutan semula kes dan tarikh penyerahan dokumen telah ditetapkan pada 15 November oleh Mahkamah.

Sumber: Sinar Harian 

The post Didakwa Dengan 46 Pertuduhan Rasuah, Bekas OCPD Mengaku Tidak Bersalah appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*