Diselaras Oleh WHO, Ini Yang Anda Perlu Tahu Mengenai IHR

mengenai IHR

Diselaras Oleh WHO, Ini Yang Anda Perlu Tahu Mengenai IHR

Seperti yang diketahui, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berperanan dalam menjaga isu kesihatan global. Selain itu, pertubuhan ini juga mengambil tindakan tertentu dan memperkenalkan peraturan bagi menjamin keselamatan dan kesihatan penduduk dunia.

Antara peraturan yang ada di bawah WHO adalah International Health Regulations (IHR). Tentunya ramai yang tertanya-tanya mengenai IHR ini,  apakah kepentingannya kepada sesebuah negara?

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsian di bawah ini.

Apa Itu International Health Regulations (IHR)?

International Health Regulations (IHR) atau Peraturan Kesihatan Antarabangsa merupakan satu undang-undang antarabangsa yang melibatkan 196 negara, 194 negara daripadanya merupakan ahli WHO.

Menerusi Peraturan Kesihatan Antarabangsa (2005), ia menyediakan rangka kerja perundangan menyeluruh dalam menganalisis hak dan kewajipan sesebuah negara dalam mengendalikan tahap kesihatan awam dan kecemasan yang berpotensi merentasi sempadan.

Umumnya, peraturan ini adalah bagi membantu masyarakat global untuk hadkan risiko penyebaran penyakit akut ke seluruh negara luar.

Tujuan peraturan ini diwujudkan adalah untuk mencegah, melindungi, mengawal dan menyediakan tindak balas kesihatan awam terhadap penyebaran penyakit antarabangsa dengan cara yang terhad kepada risiko kesihatan awam. Ia juga bagi mengelakkan gangguan terhadap perdagangan antarabangsa.

BACA JUGA: Jadi Siulan Ramai, Penyanyi Asal Tampil Jelaskan Maksud Sebenar Lagu ‘Dawai’

Sejarah IHR 

Pada tahun 1951, buat pertama kali negara anggota WHO memperkenalkan Peraturan Sanitari Antarabangsa (International Sanitary Regulations) atau dikenali sebagai IHR ketika ini.

Ia selepas pengisytiharan kuarantin bagi enam penyakit ketika itu iaitu taun, wabak, demam berulang, cacar, tifus dan demam kuning.

Pada 1969, peraturan tersebut telah disemak semula dan dikuatkuasakan sebagai Peraturan-Peraturan Kesihatan Antarabangsa (1969). Matlamat awal peraturan ini adalah untuk memastikan keselamatan maksimum terhadap penyebaran penyakit antarabangsa dengan gangguan minimum terhadap laluan keluar masuk dunia (lapangan terbang).

Peraturan ini bagaimanapun, sekali lagi dipinda pada tahun 1973 yang menetapkan hanya empat kategori penyakit iaitu kolera, wabak, cacar, dan demam kuning.

Walau bagaimanapun, pada tahun 1980, peraturan itu hanya melabelkan tiga penyakit sahaja (taun, wabak, dan demam kuning) selepas penyakit cacar dibasmi.

Seiring perkembangan dunia dengan peningkatan bidang pelancongan dan perdagangan antarabangsa, pelbagai penyakit telah muncul semula. Ia tersebar merentasi sempadan sesebuah negara hingga mendatangkan ancaman.

Disebabkan itu, Perhimpunan Kesihatan Sedunia telah diadakan pada 1995 bagi membuat semakan terhadap IHR. Semakan ini dilakukan dengan meneliti skop IHR secara khusus.

Ia termasuk penyakit, cara penularan, perlindungan, tahap perubatan tanpa mengira latar belakang atau punca yang boleh mendatangkan kemudaratan terhadap manusia.

Selain itu, negara-negara anggota juga bertanggungjawab untuk membangunkan keupayaan teras kesihatan awam minimum.

Mereka juga perlu melaporkan kepada WHO tentang penyakit yang boleh tersenarai dalam Kecemasan Kesihatan Awam bagi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC).

International Health Regulations
Gambar: AFP

BACA JUGA: Tak Perlu Kerap Letak Baja, Wanita Kongsi Cara Tanam Kacang Tanah Di Rumah

Pada 2005, IHR telah disemak semula dan diterima pakai sebelum mula berkuat kuasa pada Jun 2007.

Pada Mei 2022, Perhimpunan Kesihatan memutuskan untuk meneruskan pindaan bagi peraturan ini melalui Kumpulan Kerja mengenai Pindaan Kepada IHR (WGIHR) dengan menjemput negara-negara anggota untuk mencadangkan pindaan tersebut.

Kemudian pada Oktober tahun sama, Jawatankuasa Semakan telah diadakan selepas diminta oleh negara anggota WHO. Ia bagi memberikan cadangan teknikal mengenai pindaan yang dicadangkan.

Selepas itu, Jawatankuasa Semakan telah mengadakan beberapa mesyuarat dan menyerahkan laporan kepada Ketua Pengarah, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesu, pada Januari 2023.

Jumlah Pindaan Yang Dicadangkan Pada Januari 2023

Menurut WHO, 16 negara anggota yang sebahagiannya bagi pihak kumpulan serantau telah mengemukakan lebih daripada 300 cadangan pindaan. Ia meliputi 33 daripada 66 artikel IHR dan lima daripada sembilan lampirannya.

Manakala, enam artikel baharu dan dua lampiran baharu juga telah dicadangkan.

Kepentingan IHR 

Kepentingan yang digariskan oleh IHR adalah menentukan sesuatu penyakit itu diumumkan sebagai “ancaman kesihatan dunia” ataupun tidak.

Secara ringkasnya, IHR mempunyai lima kepentingan iaitu;

Tiada Ancaman Kesihatan Sempadan

Mengukuhkan kebolehan negara untuk mengawal penyakit yang merentas sempadan di pelabuhan, lapangan terbang dan lintasan darat.

Perjalanan Dan Perdagangan Dijadikan Lebih Selamat

IHR juga menggalakkan perdagangan dan pelancongan di negara-negara dan mencegah kemerosotan ekonomi.

Keselamatan Kesihatan Global Dipertingkatkan

Selain itu, IHR mewujudkan sistem amaran awal bukan sahaja untuk penyakit tetapi untuk apa sahaja yang mengancam kesihatan dan mata pencarian manusia.

Ancaman Harian Terkawal

Dalam masa sama, IHR membimbing negara untuk mengesan, menilai dan bertindak balas terhadap ancaman dan memaklumkan kepada negara lain dengan pantas.

Faedah Semua Sektor

Menyediakan semua sektor untuk kemungkinan kecemasan melalui penyelarasan dan perkongsian maklumat.

International Health Regulations
Gambar: WHO

Pelaksanaan IHR

Secara ringkasnya, mana-mana negara yang menandatangani peraturan IHR, mereka bertanggungjawab dan terikat dengan IHR dan WHO.

Oleh itu, kerajaan bertanggungjawab dalam semua sektor termasuk kementerian, jabatan, pegawai dan kakitangan untuk melaksanakan IHR di peringkat antarabangsa.

BACA JUGA: Kenali Konvensyen Geneva, Undang-undang Setiap Pihak Berperang Kena Patuh

Dalam kes ini, WHO memainkan peranan sebagai penyelaras dalam pelaksanaan IHR dan membantu negara membina kapasiti.

Bagi memastikan pelaksanaan direalisasikan, IHR memerlukan semua negara mempunyai keupayaan seperti berikut;

Kesan

Memastikan sistem pengawasan boleh mengesan ancaman kesihatan awam yang akut dalam situasi yang tepat pada masanya.

Menilai Dan Melaporkan

Menggunakan instrumen keputusan dalam Lampiran 2 (IHR) bagi menilai penyakit kesihatan awam dan melaporkan kepada WHO melalui Titik Tumpuan Kebangsaan IHR.

Ia bagi menilai tahap kecemasan kesihatan awam yang boleh memberi kebimbangan terhadap peringkat antarabangsa.

Tindak Balas

Bertindak balas terhadap risiko kesihatan awam dan kecemasan.

BACA JUGA: Nak Turun Bukit Ada Caranya, Buat Ni Untuk Elak “Brake Disc” Kereta Berasap

Persediaan IHR

Dalam pada itu, IHR juga berperanan menyokong negara dalam mengukuh dan mengekalkan keupayaan negara dalam memastikan pengesanan, pengesahan dan tindak balas yang cepat terhadap risiko kesihatan awam.

Manakala WHO bertindak dalam membangunkan dan menyediakan alat, bimbingan serta latihan kepada negara-negara yang terlibat.

Sokongan WHO adalah memberi tumpuan kepada keperluan keutamaan yang dikenal pasti oleh Pejabat Wilayah dan Negara WHO.  Hal ini kerana IHR membantu setiap negara dalam memenuhi komitmennya termasuk;

1. Menetapkan Pusat Perhubungan IHR WHO di ibu pejabat atau peringkat wilayah.

2. Menjalankan pengawasan kesihatan awam global dan penilaian berkaitan kesihatan awam yang penting.

3. Menyebarkan maklumat kesihatan awam kepada negara anggota

4. Menawarkan bantuan teknikal kepada negara anggota.

5. Menyokong negara anggota dalam usaha mereka untuk menilai struktur dan tahap kesihatan awam nasional.

6. Memantau pelaksanaan IHR (2005) dan mengemas kini garis panduan

7. Menentukan sama ada sesuatu penyakit tertentu merupakan kecemasan kesihatan awam kebimbangan antarabangsa (PHEIC) dengan nasihat daripada pakar luar, jika perlu.

Sekiranya diisytiharkan, WHO akan mengambil pendekatan atau mengesyorkan langkah kesihatan kritikal untuk dilaksanakan oleh negara-negara anggota ketika kecemasan.

Ringkasnya, matlamat pelaksanaan IHR terhadap negara-negara yang terlibat adalah untuk membendung risiko penyebaran kesihatan ke luar negara dan untuk mengelakkan sekatan perjalanan perdagangan.

Sumber: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

The post Diselaras Oleh WHO, Ini Yang Anda Perlu Tahu Mengenai IHR appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*