Tak perlu tergugat dengan pempengaruh media sosial – Nadia Brian

KUALA LUMPUR: Pelakon berbakat besar, Nadia Brian, 32, yakin kehadiran pempengaruh media sosial yang mula meneroka peluang dalam industri hiburan tidak akan menggugat kedudukan anak seni berbakat.

Kata Nadia, walaupun segelintir pihak berpendapat kehadiran mereka mula ‘memakan’ ruang dan peluang anak seni sebenar untuk menyerlah, situasi itu bukan sesuatu yang perlu digusarkan.

“Kita kena faham, benda tular selalunya tidak lama. Sebagai anak seni, jangan mudah tergugat dan anggaplah situasi itu sebagai peralihan dalam industri hiburan yang perlu diterima.

“Sekarang, semua benda di hujung jari.Tetapi, sebagai anak seni yang bekerja atas nama bakat dan ilmu, usah bimbang. Saya percaya rezeki akan tetap ada,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, kata Nadia, artis berbakat juga perlu lebih kreatif dalam menyusun strategi untuk memastikan diri mereka kekal relevan.

“Kita kena usaha untuk pastikan bakat tidak terus tenggelam. Tidak boleh ada stigma kehadiran kelompok tertentu akan menggugat kelompok sedia ada. Bagi saya, bila kita fikir dan menerimanya secara positif, ia akan menjadi positif.

“Benda yang tular biasanya bersilih ganti. Kalau kita percaya pada bakat dan ilmu yang diraih sepanjang menjadi anak seni, usah bimbang sebab rezeki pasti ada.

“Industri perlukan mereka yang berbakat dan jangan sia-siakan kelebihan yang ada. Insya-Allah, akan ada masa dan peluang untuk kita menyinar,” katanya.

Terdahulu, kemunculan pempengaruh media sosial, Ratu Farah membuat persembahan dalam program hiburan, MeleTOP, baru-baru ini menimbulkan perasaan kurang senang segelintir pemerhati dan penggiat seni.

Sebahagian mereka meluahkan kekecewaan terhadap produksi televisyen yang disifatkan terlalu ‘lapar’ rating hingga sanggup membutakan mata terhadap kualiti serta bakat sebenar semata-mata untuk menarik tontonan.

The post Tak perlu tergugat dengan pempengaruh media sosial – Nadia Brian appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*