Indonesia & Malaysia Perkukuh Kerjasama Dua Hala Dalam Bidang Pertanian

KUALA LUMPUR, 14 FEBRUARI 2023 – YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah menerima kunjungan hormat daripada TYT Hermono, Duta Besar Republik Indonesia di Malaysia pada 14 Februari 2023 di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur.

Pertemuan ini bagi membincangkan usaha kedua-dua negara untuk memperkukuhkan kerjasama dua hala dalam bidang sekuriti makanan menerusi perdagangan agromakanan dan kerjasama teknikal pertanian bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan.

Kedua-dua negara turut bersedia untuk memperkukuhkan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian termasuk kerjasama di bawah platform serantau ASEAN. Dalam hubungan ini, Indonesia merupakan Pengerusi ASEAN bagi tahun 2023 manakala Malaysia merupakan tuan rumah bagi Mesyuarat Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) ke-45 pada tahun ini.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Indonesia bersetuju memberikan fokus terhadap sekuriti makanan di rantau ini. Dalam pertemuan ini, Indonesia mempelawa YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan ke Indonesia bagi melihat dengan lebih dekat kejayaan pembangunan industri padi yang telah mencapai 100% bagi Tahap Sara Diri (SSL) untuk menampung keperluan dan penggunaan beras domestik negara tersebut.

Di samping itu, Indonesia juga bersedia untuk mengeksport jagung bijian dan produk ternakan seperti daging, susu dan telur ayam bagi memenuhi keperluan Malaysia. Pertemuan ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFS dan pegawai-pegawai kanan MAFS serta wakil Kedutaan Republik Indonesia di Malaysia.

The post Indonesia & Malaysia Perkukuh Kerjasama Dua Hala Dalam Bidang Pertanian appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*