Ini 10 Haiwan Terancam Di Dunia, Kehilangan Habitat Salah Satu Punca

Ini 10 Haiwan Terancam Di Dunia, Kehilangan Habitat Salah Satu Punca

Kebanyakan haiwan dalam dunia ini sering menjadi peliharaan kepada manusia seperti kucing, arnab, anjing, hamster dan juga ular. Kadang-kadang, ada juga sesetengah haiwan yang digunakan sebagai service animal untuk membantu orang yang kurang upaya atau mengalami masalah kesihatan lain yang memerlukan bantuannya. Begitu juga haiwan ternakan yang diternak untuk membekalkan susu, daging dan telur bagi yang menternak ayam.

Namun, tentulah ada haiwan yang tidak boleh dipelihara seperti singa, harimau, orang utan dan banyak lagi. Ini kerana, ia merupakan haiwan liar yang hidup bebas di habitat masing-masing. Tetapi, walaupun ia adalah haiwan liar, ini tidak bermakna hidup haiwan-haiwan itu tenang.

Kebanyakan haiwan liar sering diburu secara haram atau kehilangan habitat kerana pembalakan haram. Ini mengakibatkan beberapa spesies telah menjadi antara haiwan terancam di dunia. Mari kenali haiwan-haiwan tersebut.

Javan Rhinos / Badak Jawa

Gambar via WWF

Sebelum ini, Badak Jawa sering dijumpai di seluruh Asia Tenggara. Tetapi, bilangan Badak Jawa berkurangan dengan mendadak kerana pemburuan serta kehilangan habitat. Populasi spesies Badak Jawa adalah kira-kira 75 ekor dan ia merupakan spesies badak yang sukar ditemui.

Badak Jawa hanya boleh ditemui di Pulau Jawa, Indonesia. Di sana, terdapat sebuah taman negara yang bernama Taman Negara Ujung Kulon. Ia merupakan sebuah Tapak Warisan Dunia yang menjadi tempat perlindungan terakhir untuk spesies itu.

Namun, kawasan itu dikelilingi dengan pokok Arenga yang menyukarkan ia mencari makanan dan mengurangkan kawasan habitat untuk ia berkeliaran. Selain itu, populasi Badak Jawa yang sedikit terdedah kepada kepupusan kerana bencana alam, penyakit, pemburuan haram dan juga pembiakan bersama spesies haiwan yang hampir sama dengannya.

Amur Leopard / Harimau Bintang Amur

Gambar via WWF

Amur Leopard merupakan antara spesies ‘kucing besar’ yang jarang ditemui dengan bilangan populasi sebanyak 100 ekor saja. Walaupun populasi liar haiwan ini kelihatan stabil dan semakin meningkat, ia sebenarnya merupakan antara yang terancam tahap kritikal sejak tahun 1996.

Ini kerana, pada ketika ini, ia hanya boleh ditemui di sebuah wilayah yang kecil di timur Rusia dan juga di kawasan timur laut di China. Amur Leopard  juga mengalami ancaman seperti kehilangan habitat, kekurangan mangsa untuk diburu dan juga infrastruktur pengangkutan seperti pembinaan lebuh raya di kawasannya.

Namun, kira-kira 75 peratus habitat Amur Leopard terletak di kawasan yang dilindung ketat di Rusia dan China. Ia juga akan berpindah ke habitat yang bersesuaian di luar kawasan yang dilindungi itu.

Sunda Island Tiger / Harimau Pulau Sunda

Gambar via WWF

Harimau Pulau Sunda atau dikenali juga sebagai Harimau Sumatra merupakan sub-spesies harimau terkecil di dunia dengan berat seberat 140 kilogram. Untuk pengetahuan anda, harimau yang tinggal di wilayah Amur merupakan antara jenis harimau terbesar dengan berat harimau jantan boleh mencecah dua kali kanda lebih daripada Harimau Sumatra.

Ia juga merupakan harimau yang jarang dijumpai dengan bilangan kira-kira 600 ekor saja dalam populasi. Harimau baka ini difahamkan hanya boleh ditemui di Pulau Sumatera, Indonesia.

Populasi manusia di Asia Tenggara telah meningkat sejak tahun 1980. Pada mulanya bilangan manusia hanyalah 357 juta. Tetapi, pada tahun 2020, terdapat peningkatan populasi manusia sebanyak 668 juta. Peningkatan ini telah menyebabkan bilangan harimau tersebut semakin berkurang dan ia sering kehilangan habitatnya.

Semakin ramai penduduk di kawasan itu, semakin tinggi kemungkinan untuk harimau itu bertemu dengan manusia. Ini akan membawa kepada konflik antara manusia dengan haiwan. Selain itu, ancaman lain dihadapinya adalah pemburuan serta perdagangan haram yang melibatkan bahagian-bahagian anggota harimau tersebut.

Mountain Gorrilas / Gorila Gunung

Gambar via WWF

Haiwan ini merupakan sub-spesies gorila timur yang tinggal di kawasan pinggiran dalam kawasan hutan beraltitud tinggi. Ia terletak di kawasan pergunungan gunung berapi di Republik Demokratik Congo, Rwanda dan Uganda dan di Bwindi Impenetrable National Park, Uganda.

Wilayah Virunga mempunyai sejarah politik yang tidak stabil serta kadar kemiskinan yang tinggi di kawasan itu. Ini memberikan ancaman kepada gorila berkenaan kerana orang ramai berpindah berdekatan dengan habitat haiwan tersebut untuk mendapatkan makanan dan tempat tinggal.

Kini, terdapat kira-kira 500,000 orang yang hidup berdekatan dengan habitat gorila gunung. Tetapi, gorila gunung berjaya meningkatkan populasi yang berlaku atas usaha pemuliharaan dan campur tangan pihak berkuasa tempatan dan juga antarabangsa. Selain itu, WWF juga membantu melalui program Pemuliharaan Gorila Antarabangsa.

Pada masa ini, gorila gunung tersenarai sebagai haiwan terancam dengan hanya 1,000 ekor saja yang tinggal. Tetapi, pemuliharaan haiwan ini mengalami pelbagai ancaman yang boleh mengakibatkan usaha itu terjejas.

Orang Utan Tapanuli

Gambar via WWF

Orang Utan Tapanuli merupakan spesies yang baru ditemui dan disenaraikan sebagai spesies Orang Utan yang berbeza dengan yang lain pada tahun 2017. Tapanuli ini hanya mempunyai satu populasi dan ia terletak di kawasan yang terhad di hutan tropika Batang Toru di Pulau Sumatera, Indonesia.

Haiwan ini merupakan spesies terancam dengan bilangannya kurang daripada 800 ekor. Ini menjadikan ia sebagai spesies beruk yang paling terancam di dunia. Ia mengalami ancaman kerana kehilangan habitat akibat hutan tropika yang ditukarkan menjadi kawasan pertanian, perlombongan, serta pembagunan hidroelektrik dan geoterma.

Antara tahun 1985 dan tahun 2007, Tapanuli yang tinggal di dalam hutan di wilayah Sumatra Utara itu telah kehilangan habitat lebih daripada 40 peratus.

Yangtze Finless Porpoise / Ikan Lumba-Lumba Tanpa Sirip

Gambar via WWF

Finless Porpoise berlainan dengan spesies ikan lumba-lumba yang lain kerana ia merupakan satu-satunya spesies ikan lumba-lumba yang hidup di dalam air tawar di dunia. Ikan ini hidup di Sungai Yangtze dan ia tersenarai sebagai haiwan terancam tahap kritikal.

Sungai itu memainkan peranan yang penting untuk memberikan ekosistem yang baik kepada haiwan-haiwan di situ. Tetapi, kawasan itu mengalami keadaan alam sekitar yang tidak bersih, penangkapan ikan secara berlebihan dan pencemaran air selama bertahun-tahun. Ini telah menjejaskan kehidupan hidupan liar di kawasan itu.

Sebelum ini, Ikan Lumba-lumba Yangtze dan Finless Porpoise  hidup bersama. Tetapi, ikan lumba-lumba air tawar ini sudah tidak kelihatan selama dua dekad. Ini bermakna, Finless Porpoise yang terancam ini berkemungkinan mengalami kepupusan seperti Ikan Lumba-lumba Yangtze.

China telah menjadikan Finless Porpoise sebagai ‘first level protected species’ pada tahun 2021 demi melindungi spesies itu. Ia merupakan tahap perlindungan tertinggi di negara tersebut. Pada tahun 2018, bilangan spesies ini masih dalam lingkungan 1,000 ekor.

Black Rhinos / Badak Hitam

Gambar via WWF

Disebabkan pemburuan haram antara tahun 1960 dan 1995, bilangan Badak Hitam ini turun secara mendadak. Hanya sekitar dua peratus saja yang terselamat daripada pemburuan pada masa itu. Apabila pemuliharaan badak dilaksanakan, bilangan populasi haiwan ini telah meningkat di serata Afrika sejak 1990.

Tetapi, Badak Hitam masih tersenarai sebagai haiwan terancam oleh IUCN dengan jumlah kira-kira 5,630 ekor. Kini, hanya tiga spesies Badak Hitam saja yang masih hidup kerana Badak Hitam Barat telah pupus pada tahun 2011.

95 peratus daripada Badak Hitam hanya boleh dijumpai di empat negara saja iaitu Kenya, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe. Ancaman utama yang menyebabkan ia menjadi haiwan terancam adalah pemburuan haram untuk mendapatkan tanduknya.

Sejak 10 tahun yang lalu, lebih 10,000 ekor badak di Afrika telah dibunuh untuk digunakan dalam perdagangan badak secara haram.

African Forest Elephant / Gajah Hutan Afrika

Gambar via WWF

Di dalam hutan di Afrika Barat dan Afrika Tengah, anda boleh menjumpai Gajah Hutan Afrika yang sukar dijumpai yang merupakan salah satu daripada dua ekor spesies gajah hutan di Afrika. Jumlah Gajah Hutan Afrika ini tidak diketahui kerana ia mempunyai sifat pemalu.

Namun, ia merupakan spesies haiwan terancam dan mengalami kemerosotan dalam populasi dengan anggaran 86 peratus selama lebih daripada 31 tahun.

Seperti haiwan yang lain, punca utama haiwan ini mengalami pengurangan populasi adalah pemburuan haram yang berlalu secara berleluasa dan kerap di Afrika Tengah. Selain pemburuan haram, haiwan ini kehilangan habitat akibat penggunaan kawasan rayaunya untuk dijadikan ladang pertanian dan kegunaan lain untuk manusia.

Ini telah meningkatkan konflik antara manusia dengan gajah yang menyebabkan kematian pada kedua-dua pihak. Kini, Gajah Hutan Afrika hidup di kawasan bersejarah Gajah Hutan sekitar 25 peratus daripada kawasan itu. Kebanyakan haiwan ini hidup di 20 negara benua Afrika yang lain, terutama sekali di Gabon dan di Republik Congo.

Orang Utan Sumatra

Gambar via WWF

Orang Utan Sumatra hanya boleh dijumpai di Pulau Sumatera, Indonesia. Ia tersenarai sebagai haiwan terancam oleh IUCN dengan jumlah kurang daripada 14,000 ekor. Sama seperti Tapanuli dan Orang Utan Borneo, Orang Utan Sumatra turut mengalami ancaman yang sama.

Ancaman-ancaman tersebut adalah pembalakan, kemunculan ladang pertanian dan perkembangan infrastruktur yang mengambil alih habitat haiwan ini. Bukan itu saja, ada juga yang menjalankan kegiatan perdagangan haiwan peliharaan secara haram.

Orang Utan memerlukan hutan yang luas untuk hidup, tetapi antara tahun 1985 sehingga 2007, tempat tinggalnya telah kehilangan 60 peratus. Kebanyakan Orang Utan pada masa kini boleh didapati di hujung Sumatera Utara di Ekosistem Leuser. Kawasan itu merupakan kawasan hutan hujan tropika.

Hawksbill Turtle / Penyu Hawksbill

Gambar via WWF

Penyu Hawksbill merupakan salah satu antara tujuh spesies penyu marin yang boleh didapati di perairan tropika dan subtropika berhampiran pantai di Atlantik, India dan Lautan Pasifik. Jumlah haiwan ini adalah antara 20,000 dan 23, 000 ekor. Tetapi, untuk mengetahui populasi sebenar spesies ini agak sukar kerana ia merupakan peneroka di lautan yang sering bergerak.

Sejak 30 tahun yang lalu, populasi penyu ini di seluruh dunia telah berkurang sebanyak 80 peratus. Ia berpunca daripada penangkapan yang tidak disengajakan oleh nelayan, kekurangan habitat untuk bersarang, kerosakan terumbu karang di lautan dan juga perdagangan haram cengkerang spesiesnya.

Selain itu, faktor pencemaran plastik, perubahan iklim dan peningkatan paras laut turut menjadi punca spesies ini terancam. Ia telah tersenarai sebagai haiwan terancam tahap kritikal.

Sumber: WWF

BACA JUGA: Ini Lima Tempat Di Dunia Yang Tiada Undang-Undang

The post Ini 10 Haiwan Terancam Di Dunia, Kehilangan Habitat Salah Satu Punca appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*