Inspektor dituduh rogol remaja di Mahkamah Sungai Petani hari ini

SUNGAI PETANI – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 16 tahun pada 28 Disember lalu akan dituduh di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan selepas mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian pada 31 Disember lalu.

Dia kemudian direman untuk siasatan sehingga hari ini dengan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Kosmo! semalam melaporkan polis memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara telus dan adil berhubung kes tersebut.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kejadian melibatkan suspek yang merupakan seorang pegawai kanan polis bertugas sebagai pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan.

“Mangsa pula merupakan seorang remaja perempuan yang merupakan pengadu bagi satu kes polis yang lain dengan suspek adalah pegawai penyiasat bagi kes tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Kata beliau, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

The post Inspektor dituduh rogol remaja di Mahkamah Sungai Petani hari ini appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*