Jambatan rosak tunggu masa ragut nyawa

KAMPAR – Sebahagian penduduk di Kampung Sahom di sini terpaksa menggadai nyawa melalui jambatan yang mengalami kerosakan selepas kejadian banjir kilat melanda perkampungan mereka pada Rabu lalu.

Seorang penduduk, Mat Radzi Karim, 60, berkata, sepanjang 25 tahun tinggal di kampung itu, kejadian banjir yang berlaku adalah yang paling teruk sehingga merosakkan lima buah jambatan.

“Ada sembilan kenderaan di dalam kampung ini yang tidak boleh keluar melalui jambatan.

“Mahu tidak mahu, kami terpaksa guna motosikal walaupun keadaan jambatan berbahaya,” katanya ketika ditemui di Kampung Sahom di sini kelmarin.

Menurutnya, mereka juga khuatir akan keselamatan kanak-kanak terutamanya pelajar yang turut melalui jambatan rosak ketika berulang-alik dari rumah ke sekolah.

“Kita harap pihak berkaitan boleh buat sesuatu untuk bantu penduduk,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Lokman Ahmad, 61, menggesa kerajaan negeri termasuk pihak berkaitan bagi menyegerakan pembinaan semula atau baik pulih jambatan yang terjejas.

Katanya, kejadian berlaku di­sebabkan air deras sehingga me­rosakkan struktur jambatan.

Dalam pada itu, Pengerusi Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd. Azlan Helmi berkata, pihaknya sudah mengambil maklum dengan permasalahan yang dihadapi penduduk.

Katanya, agensi berkaitan sedang menyiapkan keperluan bagi tujuan pembinaan semula dan baik pulih kesemua jambatan yang rosak.

Mohd. Azlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah berkata, seba­nyak lima jambatan yang terjejas dalam kejadian banjir kilat itu menyebabkan 24 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara baru-baru ini.

The post Jambatan rosak tunggu masa ragut nyawa appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*