Kapal Terbalik: Satu Lagi Mayat Ditemukan

kapal terbalik mayat

Kapal Terbalik: Satu Lagi Mayat Ditemukan

KUCHING, 31 Julai (Bernama) — Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian kapal MV Tung Sung terbalik berdekatan Pulau Burung di Sebuyau, kira-kira 103 kilometer dari sini, berjaya menemukan satu lagi mayat hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata mayat dijumpai kira-kira 12.14 tengah hari di dalam kabin susulan kapal tersebut berjaya diapungkan petang semalam.

“Mayat dibawa ke Jeti Lembaga Sungai-Sungai Sarawak Sebuyau sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Umum Sarawak bagi pengesahan identiti dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata pencarian di dalam kapal hari ini terpaksa ditangguhkan sementara pada sebelah tengah hari kerana kerja-kerja mengepam air masih dilakukan di bahagian jentera kapal sebelum disambung semula setelah air dipam keluar.

Bagaimanapun setakat 6.30 petang, tiada penemuan baharu berkaitan tiga lagi mangsa yang dilaporkan turut berada di dalam kapal itu sewaktu insiden berlaku kira-kira 11 malam, 19 Julai lepas.

BACA JUGA: Kapal Terbalik: Empat Mayat Ditemukan

Berikutan itu, Zin Azman berkata operasi SAR ditamatkan dan akan disambung semula sekiranya terdapat sebarang petunjuk baharu.

Pada Sabtu lepas, empat mayat dipercayai kru kapal berkenaan ditemukan, namun setakat ini identiti mereka belum dikenal pasti.

Sebelum ini dilaporkan, kapal MV Tung Sung terbalik mengakibatkan seramai lapan kru berusia lingkungan 20 hingga 52 tahun hilang dengan tiga daripadanya warga tempatan dari Sibu yang dikenali sebagai Chieng Siew Ngiek, Wong Hua Wu dan Stimba Anak Chuit.

Empat lagi mangsa merupakan warga Myanmar iaitu That Min July, Ye Lin Htet, Hla Win Tun, Tun Lin Oo serta seorang warga Indonesia, Lido Ali Purwanto.

Sumber: BERNAMA

The post Kapal Terbalik: Satu Lagi Mayat Ditemukan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*