Kazakhstan Berminat Import Kepakaran Malaysia Dalam Pembangunan Infrastruktur Pelabuhan Republik – Alexander

Kuala Lumpur, 4 Oktober – Menteri Pengangkutan Kazakhstan, TYT Marat Karabayev telah menyatakan hasrat dan minat untuk mengimport kepakaran Malaysia dalam pembangunan dan pengurusan infrastruktur pelabuhan di Republik itu, kata Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Kongres Jalan Sedunia ke-27 2023 anjuran Persatuan Tetap Kongres Jalan Antarabangsa (PIARC) di Prague, Republik Czech baru-baru ini.

“Saya amat mengalu-alukan cadangan ini yang sekaligus membuktikan kepakaran Malaysia dalam bidang pembinaan infrastruktur turut menarik perhatian luar. Saya amat berharap kerjasama ini dapat direalisasikan yang akan membuka peluang pelaburan kepada kedua-dua negara,” katanya.

“Saya akan membawa cadangan ini untuk dibincangkan di peringkat kementerian dan agensi yang berkaitan sebelum dipertimbangkan di peringkat kabinet,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau juga sempat menerima kunjungan Timbalan Menteri Pengangkutan bagi Hal Ehwal Jalan Raya Arab Saudi, TYT Badr Bin Abdullah Al-Dulami.

Katanya dalam sesi itu, mereka telah berkongsi pandangan mengenai beberapa perkara selain bersetuju untuk mengukuhkan lagi kerjasama strategik dalam aspek keselamatan dan penyelenggaraan jalan di kedua-dua negara.

“Saya percaya ada banyak yang boleh Malaysia pelajari daripada Arab Saudi dalam hal ini dan begitu juga sebaliknya. Justeru, kedua-dua pihak bersetuju untuk terus berhubung lanjut bagi meneroka ruang dan peluang yang boleh dimanfaatkan demi kebaikan bersama,” ujar beliau.

“Delegasi Arab Saudi juga telah menyatakan minat untuk mempelajari usaha Kerajaan Malaysia berhubung inisiatif keselamatan jalan raya yang ditekankan terutamanya melalui kempen MYJalan yang sedang giat dilaksanakan di seluruh negara,” tambahnya.

Selain itu, Alexander turut menyuarakan sokongan Kerajaan Malaysia kepada Kerajaan Arab Saudi dalam usaha membida sebagai penganjur Ekspo Dunia 2030.

The post Kazakhstan Berminat Import Kepakaran Malaysia Dalam Pembangunan Infrastruktur Pelabuhan Republik – Alexander appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*